'Teguran' Ahmad Said bukan berniat merobohkan Muafakat Nasional
KUALA TERENGGANU - Teguran bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berhubung agihan bantuan wabak koronavirus (Covid-19) yang didakwa tidak diberikan secara adil kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) bukan berniat merobohkan Muafakat Nasional yang menjadi gagasan kerjasama antara UMNO dan Pas.
Setiausaha UMNO Terengganu, Datuk Rozi Mamat berkata, isu yang disuarakan Pengerusi UMNO Terengganu (Ahmad Said) itu untuk kepentingan rakyat.
"Beliau (Ahmad) bukannya menghentam semberono tanpa usul periksa.
"Tindakan itu hanya untuk memperbetulkan keadaan dalam Muafakat Nasional dan berjaya merapatkan hubungan kepimpinan Muafakat Nasional Terengganu," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Rozi turut menyelar tindakan dua individu yang memuat naik kenyataan di media sosial Facebook berhubung tindakan Ahmad menegur kepimpinan kerajaan Terengganu.
Katanya, pihaknya sedang berbincang memanjangkan perkara itu kepada pihak berkuasa kerana tulisan itu seolah-olah bertujuan 'memanaskan' isu supaya rakyat membenci UMNO dan Muafakat Nasional.
"Saya harap dua individu ini berhenti mereka cerita dan mengadu domba untuk memburukkan imej UMNO Terengganu.
"Kita sedang meneliti untuk membuat laporan polis berhubung fakta yang tidak benar yang disebarkan ini kerana ia jelas berniat jahat dan bertujuan menjejaskan reputasi, nama baik serta memalukan Datuk Seri Ahmad Said," katanya.
Terdahulu, pada 15 April lalu seorang individu memuat naik kenyataan bertajuk 'Selagi Ahmad Said Pengerusi UMNO - Pakatan Nasional di Terengganu Akan Gagal'.
Pada 18 April pula seorang lagi pemilik akaun Facebook memuat status bertajuk 'Perlukah lagi Ahmad Said sebagai pengaman bangsa dan agama bagi UMNO?
Ahmad Said dalam kenyataan sebelum ini mendakwa tiada peruntukan disalurkan bagi bantuan Covid-19 terhadap rakyat negeri ini yang disalurkan kepada ADUN BN di Terengganu.
Bagaimanapun, isu itu mendapat perhatian Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri yang kemudiannya mengadakan pertemuan bersama bekas menteri besar Terengganu itu.
Kedua-dua mereka mengadakan perbincangan secara bersemuka mengenai isu berkenaan bagi menambah baik perkhidmatan yang diberikan kepada rakyat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!