Institusi perbankan Islam akan beri penjelasan mengenai moratorium

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Institusi perbankan Islam akan menghubungi pelanggan mereka secara langsung untuk memberikan penjelasan lengkap mengenai moratorium pembelian sewa beli Islam dan produk pembiayaan kadar tetap Islam.

Dalam satu kenyataan hari ini, Persatuan Perbankan Islam dan Institusi Kewangan Malaysia (AIBIM) berkata, bank akan memberi nasihat kepada pelanggan masing-masing mengenai perincian khusus seperti perubahan dari segi, yang mungkin merangkumi bayaran ansuran yang disemak semula, jumlah yang harus dibayar apabila moratorium tamat dan tempoh pembayaran yang akan disemak semula.

"Ini untuk memastikan kepatuhan terhadap keperluan syarat kontrak Shariah dipenuhi dalam pelaksanaan moratorium untuk produk pembiayaan yang terjejas semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Untuk mencapainya, kami menggalakkan pelanggan untuk mematuhi proses dan garis masa yang disediakan oleh bank-bank yang menjadi ahli AIBIM. Pemberitahuan dijangka akan disebarkan seawal 1 Mei 2020," katanya

AIBIM berkata, pelanggan harus memeriksa dengan bank mengenai kelayakan moratorium mereka.

"Kami menggalakkan pelanggan yang terjejas untuk meminta penjelasan dan nasihat dari institusi perbankan Islam masing-masing untuk memastikan mereka mendapat pemahaman yang lebih baik, terutama mengenai perubahan dan proses setelah mereka menerima pemberitahuan tersebut.

"Pelanggan juga diminta merujuk ke laman web bank masing-masing atau pusat khidmat pelanggan untuk maklumat lebih lanjut," katanya.

AIBIM juga menasihati pelanggan agar kekal berhati-hati terhadap kegiatan penipuan, terutama dalam tempoh ini.- Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!