Normal baharu satu keperluan
HARI pertama Ramadan disambut rasa kekeliruan di kalangan rakyat Malaysia. Ramai terkesima kerana tiadanya bazar Ramadan. Penulis turut terkesan kerana Jumaat lalu daripada Australia, ada cerita pihak berkuasa Lapangan Terbang Perth merampas pesawat Virgin Australia.
Tujuannya ialah untuk menuntut hutang daripada pemiliknya, Sir Richard Branson. Jelas sekali, dunia penerbangan berdepan situasi paling tidak menentu rentetan pandemik koronavirus (Covid-19).
Di serata dunia, penulis mendapati berita unjuran pertumbuhan ekonomi kuasa besar dunia seperti China dan Amerika Syarikat banyak menimbulkan keresahan. Kelembapan pertumbuhan ekonomi global dan kejatuhan harga minyak syarikat multinasional gagal menyasarkan perancangan kewangan untuk tahun ini. Covid-19 kini satu cabaran kepada syarikat besar menyelamatkan kedudukan kewangan.
Isu seperti gangguan rantai bekalan, memfokuskan kembali pasaran dimiliki selama ini dan menangani cabaran kredit, kecairan pelanggan serta pengedaran harus ditangani sekarang.
Minggu lalu juga, World Economic Forum (WEF) melapor Covid-19 telah memporak-peranda teras rantaian nilai global termasuk di China, Amerika dan Eropah. Pandemik ini juga menimbulkan implikasi menggila terhadap rangkaian pengeluaran global yang pasti meninggalkan kesan jangka panjang di seluruh dunia.
Di negara ini, penulis mendapati industri pembinaan terhenti. Banyak projek kerajaan paling teruk terkesan. Penulis percaya kerajaan memiliki resipi ampuh untuk menjaga ekonomi sebagai ‘sokongan hidup’ sementara masyarakat memerangi krisis kesihatan paling dramatik sejak tempoh 100 tahun.
Persoalan utama perlu dijawab kini ialah hala tuju ekonomi Malaysia. Apakah kesan tindak balas ke atas dasar yang dilaksanakan? Keutamaan dan prinsip apa yang harus membimbing keputusan pemimpin sektor awam dan swasta sebagai tindak balas terhadap krisis ekonomi?
Apakah jangkaan bagi merintis teknologi? Apakah model perniagaan yang inovatif dan perkongsian baharu bagi mengubah keupayaan perniagaan dan memacu kesan ekonomi serta isu sosial?
Pengeluaran barangan termasuk sektor kejuruteraan tidak semestinya proses pembuatan sahaja. Ia perlu merangkumi segala-galanya. Ini merangkumi pelbagai industri beragam seperti automotif, bahan kimia, elektronik, kesihatan, makanan, pertanian dan sektor terpenting lain.
Walaupun pembuatan telah menjadi sumber pertumbuhan ekonomi, pekerjaan dan inovasi terpenting di seluruh dunia, pengeluaran juga memberikan sumbangan besar terhadap pelepasan pencemaran udara dan perubahan iklim.
Teknologi yang dicipta sudah pasti mengubah dunia pengeluaran, memungkinkan proses yang lebih efisien dan mencipta nilai baharu untuk industri, masyarakat dan alam sekitar. Apatah lagi sekarang istilah ‘normal baharu’ kerap kali bergema.
Senario global ini bertepatan dengan saranan ALLAH SWT dalam surah Al-An’aam [6:99] bermaksud, “Dan Dialah yang menurunkan air hujan dari langit, lalu kami tumbuhkan dengan air itu segala macam tumbuh-tumbuhan, maka Kami keluarkan dari tumbuh-tumbuhan itu tanaman yang menghijau, Kami keluarkan dari tanaman yang menghijau itu butir yang banyak; dan dari mayang kurma mengurai tangkai-tangkai yang menjulai, dan kebun-kebun anggur, dan (Kami keluarkan pula) zaitun dan delima yang serupa dan yang tidak serupa.
Perhatikanlah buahnya di waktu pohonnya berbuah, dan (perhatikan pulalah) kematangannya. Sesungguhnya pada yang demikian itu ada tanda-tanda (kekuasaan ALLAH) bagi orang-orang yang beriman.”
* Prof Madya Dr Ir Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteraan Sukan Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!