Ramadan pertama sebagai suami
RAMADAN tahun ini disifatkan detik yang tidak akan dilupakan oleh pemain tengah kebangsaan, Mohamad Nor Azam Azih, 25.
Berbeza dengan orang lain yang mungkin lebih gemar mengimbau kenangan Ramadan ketika kecil atau remaja, Mohamad Nor Azam menganggap pengalaman berpuasa sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menjadi kenangan yang tidak akan dilupakan seumur hidup.
Beliau yang juga pemain tengah Pahang mengakui beberapa hari menjalani ibadah puasa sepanjang PKP memberikan situasi lain dirasai ketika ini berbanding sebelumnya, apatah lagi apabila beliau tidak dapat pulang ke kampung untuk menyambut Ramadan bersama keluarga.
“Tahun ini juga saya dapat berpuasa bergelar suami buat kali pertama bersama isteri tersayang, Iffa Najiha Nor Mohamed Zain selepas berkahwin pada November tahun lalu,” kata anak kelima daripada enam beradik itu.Mohamad Nor Azam bagaimanapun menyifatkan PKP memberikan hikmah tersendiri kerana mempunyai lebih peluang dan masa untuk bersama-sama menjalani ibadah puasa bersama isteri yang kini hamil tiga bulan.
“Berbanding beberapa musim terdahulu, fokus untuk latihan dan aksi kerana ada perlawanan berlangsung pada Ramadan.
“Jadi kali ini memang berbeza tetapi latihan ringan tetap diadakan di rumah seperti yang ditekankan kerajaan, ‘stay at home’,” katanya.
Berkongsi makanan kegemarannya ketika Ramadan katanya, ikan merah masak lemak disediakan isterinya merupakan juadah disukainya selain menggemari air kelapa dan tebu.
“Selalunya waktu petang, saya akan ke bazar Ramadan di Tanjung Lumpur sebelum ini untuk memilih dan mendapatkan juadah pilihan,” ujarnya.
Mula beraksi menyarung jersi Tok Gajah pada musim 2015, Mohamad Nor Azam berharap pandemik koronavirus (Covid-19) segera berakhir bagi melepaskan kerinduan kepada ahli keluarganya di Jengka 21.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!