Qasidah ibu kini jadi kegemaran
ALOR SETAR - “Terlalu banyak kenangan bersama kuih qasidah dari zaman kanak-kanak hinggalah dewasa. Setiap kali Ramadan tiba, kenangan itu juga kembali mengusik hati,” kata Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar memulakan bicara.
Menurutnya, kuih yang dahulunya tidak digemari itu kini menjadi antara kegemarannya setiap kali berbuka puasa.
“Kenangan paling tidak dapat saya lupakan adalah ketika di sekolah rendah, saya dan kawan-kawan ke masjid atau surau untuk tarawih.
“Selepas tarawih, pasti ada moreh seperti kuih qasidah dibawa oleh jemaah. Kami tak suka makan, jadi kami kecewa sangat. Nak tau apa kami buat?” kata beliau sambil ketawa kecil.
Mahfuz berkata, ketika jemaah sedang solat tarawih, mereka beramai-ramai ambil kuih qasidah dan tepung talam lalu meletakkan kuih itu di dalam kasut jemaah.
“Bila diingatkan semula, nakal sungguh masa kanak-kanak,” kata beliau.
Menurut beliau, ibunya sering memasak qasidah di rumah sebagai juadah berbuka namun tidak dijamahnya kerana tidak menyukai masakan tersebut.
“Waktu mak saya sedang masak tu, saya termenung keletihan sambil tengok mak masak sampai meleleh air liur. Hairannya bila tiba waktu berbuka, saya tak makan pun sebab ketika itu tak suka qasidah. Bila sudah berumur, baru jadi makanan kegemaran saya,” kata beliau.
Mahfuz berkata, selepas itu beliau mula belajar memasak sendiri qasidah menggunakan resipi turun temurun daripada ibunya.
“Resipi ini air tangan mak dan mak mertua saya. Mak saya ada bagi petua, jika masak qasidah hendaklah perlahankan api, tangan pula kena kuat nak kacau adunan bila semakin pekat.
“Kalau nak tahu sama ada dah masak atau belum, adunan yang pekat tadi akan ‘meletup-letup’ dan tak melekat di periuk,” kata beliau.
Menurut Mahfuz, paling istimewa ialah aroma bawang goreng yang ditabur atas qasidah yang membangkitkan selera apabila dihidang ketika berbuka puasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!