Pesara rugi hampir RM50,000 ditipu scammer
KUANTAN- Seorang pesara membuat laporan polis mendakwa kerugian hampir RM50,000 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan, 15 April lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa mendapati wang dalam akaun bank miliknya lesap selepas tindakannya menyerahkan nombor kad pengenalan dan kod pengesahan transaksi bank (TAC) kepada individu menyamar sebagai pegawai polis tanpa menyedari individu berkenaan sebenarnya 'scammer'.
"Wanita berusia 60 tahun tersebut mendakwa dia terpaksa berbuat demikian selepas diarah seorang pegawai polis dari Bukit Aman bagi tujuan menyelesaikan kes berkaitan tunggakan cukai berjumlah RM17,600 yang perlu diselesaikan segera. Selepas maklumat itu diserahkan, mangsa mendapati wang dalam akaun bank berkurangan hampir RM50,000," katanya.
Menurut Mohd Wazir, kes penipuan terhadap mangsa itu bermula selepas dia menerima panggilan daripada seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai kakitangan sebuah agensi di Putrajaya pada 15 April lalu berkaitan tunggakan cukai yang kononnya dihadapi mangsa dan perlu diselesaikan
"Semasa berurusan dengan wanita itu, mangsa menyerahkan nombor kad pengenalan seperti diminta sebelum panggilan disambung kepada anggota polis berpangkat sarjan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah bagi tujuan semakan. Seperti biasa, mangsa ditakutkan dengan hasil semakan kononnya tunggakan cukai itu berlaku dan perlu diselesaikan segera,"katanya.
Mohd Wazir berkata, anggota sindiket penipuan yang menyamar sebagai anggota polis itu menyambung panggilan kepada pegawai atasan kononnya dari Bukit Aman bagi menyelesaikan kes dihadapi mangsa.
"Semasa berurusan dengan 'pegawai' itu, mangsa menerima tiga mesej nombor TAC dan diserahkan kepada lelaki itu seperti diarahkan.
"Pada petang hari sama, mangsa meminta rakan membuat semakan akaun bank miliknya selepas mula curiga dengan situasi dihadapi dan mendapati wang dalam akaun bank berkurangan hampir RM50,000 sedangkan dia tidak membuat sebarang pengeluaran sebelum itu,"katanya.
Menurutnya, syak telah menjadi mangsa penipuan, mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Maran semalam untuk tiadakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
"Susulan kes ini, pihak polis sedang mengesan dua individu termasuk seorang wanita yang dikenalpasti sebagai pemilik akaun bank yang digunakan bagi membantu siasatan,"katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!