Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat mula Isnin ini

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menyampaikan Perutusan Khas sempena Hari Pekerja di Bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menyampaikan Perutusan Khas sempena Hari Pekerja di Bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mula dilaksanakan pada Isnin ini yang menyaksikan sektor ekonomi dibuka semula secara terkawal.

Beliau berkata, sebahagian besar daripada aktiviti ekonomi dan sosial akan dibenarkan kecuali beberapa aktiviti yang melibatkan perhimpunan ramai dan mendedahkan orang awam kepada risiko jangkitan koronavirus (Covid-19) yang masih tidak dibenarkan.

"Perintah Kawalan Pergerakan Dipertingkatkan (PKPD) juga akan dilaksanakan di kawasan-kawasan yang mencatatkan kes positif Covid-19 yang tinggi.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, kerajaan menyedari tentang kebimbangan rakyat terhadap peningkatan Covid-19 ekoran kelonggaran yang dilakukan.

"Jadi, saya telah berbincang secara panjang lebar mengenai perkara ini dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi, sidang Majlis Keselamatan Negara dan Mesyuarat Jemaah Menteri.

"Kita mesti cari jalan untuk mengimbangi keperluan untuk memulihkan ekonomi negara dan kepentingan membendung wabak Covid-19.

"Atas nasihat Kementerian Kesihatan berdasarkan data-data yang dikumpul dan amalan terbaik yang ditentukan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia atau WHO, kerajaan telah memutuskan untuk membuka semula sektor-sektor ekonomi secara berhati-hati dengan menguatkuasakan SOP kesihatan yang ketat," ujarnya

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, negara mengalami kerugian sebanyak RM2.4 bilion setiap hari sepanjang PKP dengan jumlah kerugian kini sebanyak RM63 bilion.

Artikel Berkaitan:

"Jika PKP berterusan, maka negara kerugian RM35 bilion menjadikan kerugian RM98 bilion, hampir RM100 bilion," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!