Dadah: Penguatkuasaan kepada penyeludup, bukan hanya penagih

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Aktiviti penguatkuasaan harus lebih tertumpu terhadap aktiviti penyeludupan bekalan dadah dan bukan kepada menghukum pengguna bahan berkenaan semata-mata, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong.

Beliau dalam kenyataan hari ini berkata, justeru, beberapa seksyen dalam Akta Dadah Berbahaya 1952 perlu dikaji semula untuk membetulkan pendekatan hukuman sedia.

Katanya, penggunaan dadah haruslah lebih dilihat melalui sudut kesihatan sosial dan diselia melalui sektor kesihatan dan bukanlah ditangani melalui sistem pengadilan jenayah.

"Dominasi penguatkuasaan undang-undang dalam menentang penggunaan dadah secara haram bukan sahaja kurang berkesan, malah memburukkan lagi kesihatan individu terbabit selain turut melibatkan perbelanjaan wang yang besar oleh kerajaan," katanya.

Vui Keong berkata, beliau menyatakan pandangan itu dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membenteras Gejala Dadah yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini.

Vui Keong berkata, penggunaan dadah dan ketagihan adalah satu kesan biologi yang kompleks yang dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti kecenderungan genetik, faktor psikologi dan pengaruh persekitaran.

"Ini dapat dilihat apabila ada di antara mereka (penagih dadah) yang sudah keluar dari pusat serenti, kembali dengan tabiat asal kerana tiada dorongan dan sokongan berterusan untuk membantu mereka dalam melawan penyakit ini," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!