Laksana waktu bekerja anjal, elak kesesakan pengangkutan awam
PUTRAJAYA - Semua majikan dicadang melaksanakan jadual waktu bekerja anjal bagi mengelakkan berlaku kesesakan di stesen-stesen pengangkutan awam dan di dalam kenderaan awam pada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 4 Mei ini.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, majikan boleh memastikan tidak semua pekerja mesti masuk bekerja pada waktu sama, sekali gus inisiatif itu sedikit sebanyak mengelakkan orang ramai berkejar-kejar untuk masuk pejabat pada waktu sama.
"Dalam keadaan kita nak mengawal penularan pandemik koronavirus (Covid-19), kita mesti elakkan kesesakan di stesen-stesen bas, LRT, MRT dan sebagainya.
"Mesti ada tindakan diambil oleh pengendali syarikat pengangkutan awam untuk kawal pergerakan orang ramai.
"Syarikat-syarikat pengangkutan awam juga mesti bersedia. Sudah tentu jumlah pengguna akan meningkat," katanya pada perutusan khas yang disiarkan secara langsung menerusi stesen-stesen televisyen tempatan dan media sosial di Bangunan Perdana Putra hari ini.
Muhyiddin turut menasihatkan semua pengguna pengangkutan awam supaya memakai topeng muka sebagai langkah keselamatan dan pencegahan terhadap jangkitan virus berkenaan.
"Anda akan sentiasa terdedah kepada penularan wabak Covid-19. Jadi ambil langkah-langkah untuk lindungi diri sendiri.
"Pakai penutup hidung dan mulut dan simpan juga satu atau dua lagi dalam beg. Sentiasa bawa hand sanitizer untuk digunakan jika perlu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!