Baru jadi 'runner' dah dijangkiti Covid-19
BENTONG - Senangnya kita boleh dijangkiti tanpa sedar. Itu status seorang ahli perniagaan, Mohd Sukri Othman, 40, yang dimuat naik di laman sosial Facebook miliknya selepas adiknya, Mohd Suhaimi, 36, dijangkiti koronavirus (Covid-19) tular semalam.
Beliau dimaklumkan kejadian apabila dihubungi adiknya semalam yang bekerja di sebuah syarikat di Bentong dan baru sahaja berjinak-jinak membuat perkhidmatan 'runner' Ramadan ini.
Kejadian itu katanya, di luar jangkaannya sekeluarga dan menyifatkan virus berkenaan begitu mudah berjangkit.
"Saya memohon semua agar dapat mendoakan kesihatan dan keselamatan adik saya dan isterinya, Nurfatihah Hamzah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Adik kepada Mohd Sukri yang juga anak ketiga dari tujuh beradik di Chegar Medang di sini hanya mengetahui dirinya dijangkiti Covid-19 semalam selepas melakukan pemeriksaan saringan yang disyaratkan untuk memohon sebagai penghantar makanan (runner) di daerah tersebut beberapa hari lalu.
Mohd Sukri berkata, situasi tersebut menggambarkan betapa orang ramai perlu berhati-hati dengan pandemik tersebut.
"Kalau kawasan yang rendah jangkitan pun kebarangkalian untuk dijangkiti ada, apatah lagi kawasan zon merah. Bentong bukan zon merah, hanya 15 kes setakat ini. Semoga sahabat semua lebih berhati-hati," katanya yang juga abang sulung kepada Suhaimi.
Beliau berkata, adiknya telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk rawatan lanjut dan memberitahu adiknya juga turut meminta maaf kepada semua yang pernah berurusan dengannya sebelum ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!