Malaysia penuhi enam kriteria WHO tangani Covid-19
PUTRAJAYA - Malaysia berjaya memenuhi enam kriteria ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam usaha menangani penularan pandemik koronavirus (Covid-19) ketika ini.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kejayaan negara memenuhi enam kriteria itu memastikan usaha melandaikan lekuk penularan Covid-19 berjaya dicapai dengan jumlah kes-kes baharu menurun ketara, manakala jumlah pesakit sembuh juga meningkat.
Menurutnya, enam kriteria itu meliputi kawalan sempadan negara telah diperketatkan untuk mengelakkan kes import positif Covid-19 berlaku serta kawalan pergerakan untuk mengurangkan kadar jangkitan dalam kalangan rakyat tempatan.
"Selain itu, peningkatan keupayaan fasiliti kesihatan; keupayaan menjaga golongan berisiko seperti warga emas, pesakit yang dirawat serta orang kurang upaya juga antara kriteria berjaya dipenuhi.
"Pada masa sama, amalan normal baharu dalam kehidupan seperti tidak berkumpul, tidak bersalam, penjarakan sosial dan memakai face mask; dan pemerkasaan komuniti untuk menjaga kawasan yang tidak dijangkiti seperti zon hijau serta mengamalkan aktiviti normal baharu juga berjaya dilaksanakan mengikut ketetapan WHO.
"Jadi, walaupun kita telah berjaya mengawal penularan Covid-19, jangan kita alpa. Teruslah berwaspada," katanya pada perutusan khas yang disiarkan secara langsung menerusi stesen-stesen televisyen tempatan dan media sosial di Bangunan Perdana Putra hari ini.
Muhyiddin berkata, sejak dari awal, kerajaan mempunyai perancangan jelas dalam memerangi pandemik Covid-19 dan menghadapi krisis ekonomi.
Menurutnya, kerajaan menggunakan strategi yang merangkumi enam pendekatan iaitu ketegasan atau resolve dalam tindakan mengawal penularan wabak Covid-19 dengan melaksanakan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) serta membina ketahanan atau resilience melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin.
"Ketiga, menjana semula atau restart ekonomi secara teratur dan terkawal; keempat, melaksanakan strategi pemulihan atau recovery ekonomi dalam menghadapi normal baharu.
"Kelima, memperkasa atau revitalize ekonomi secara menyeluruh demi kelangsungan masa hadapan; dan keenam, menyusun semula atau reform struktur ekonomi untuk membolehkan negara melangkah ke era kehidupan ‘normal baharu’ atau ‘new normal’
"Alhamdulillah, pendekatan pertama dan kedua telah membuahkan hasil. Kini, kita telah bersedia untuk memulakan pendekatan ketiga, iaitu membuka semula aktiviti ekonomi di seluruh negara secara terkawal dan berhati-hati," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!