Bekerja dengan normal baharu, titah Agong

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berharap dengan ketidakpastian yang memberi kesan kepada warga pekerja negara berikutan pandemik koronavirus (Covid-19), rakyat akan menyedari bahawa dunia sekarang berada di bawah 'normal baharu'.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, bersempena Hari Pekerja yang bertemakan 'Pekerja dan Cabaran Budaya Norma Baharu', Seri Paduka menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pekerja dan merasakan hari ini penting serta lebih bermakna kerana wabak Covid-19 yang sedang melanda negara dan seluruh dunia.

“Seri Paduka Baginda berharap krisis ini menjadi pemangkin bagi rakyat Malaysia untuk bekerja lebih keras bagi memastikan kemajuan negara dan rakyatnya. Seri Paduka Baginda gembira dan berbangga dengan warga pekerja kita dan memahami bahawa tahun ini terbukti mencabar.

“Seri Paduka Baginda menghargai pengorbanan dan usaha yang dilakukan oleh semua pekerja terutama barisan hadapan kita; dari doktor dan jururawat, anggota polis dan tentera, hingga penjawat awam dan kumpulan di luar sana yang berusaha memerangi wabak ini dan mengutamakan negara. Dengan semangat berkorban ini, kita meraikan Hari Pekerja 2020,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Fadil berkata, Al-Sultan Abdullah menyedari bahawa amat penting untuk memastikan pekerja mendapat sokongan memandangkan negara ini berusaha untuk kembali ke keadaan normal kerana pemulihan dan pembangunan negara ini berada di tangan pekerja.

Beliau berkata, Seri Paduka menyambut baik usaha kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam memberikan bantuan kepada rakyat dan pelbagai organisasi, terutama yang terjejas akibat pandemik Covid-19 serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ahmad Fadil berkata, Al-Sultan Abdullah menghormati ketabahan pekerja Malaysia dan menggalakkan para majikan supaya memainkan peranan mereka dalam memberikan sokongan dan membantu pekerja mereka ketika negara berusaha mengurangkan kesan wabak tersebut terhadap ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

"Seri Paduka Baginda amat memaklumi ancaman pandemik berkenaan terhadap kesihatan awam, ekonomi dan interaksi sosial. Ia memberi kesan ketara yang tidak pernah dialami sebelum ini, Seri Paduka Baginda menggesa warga pekerja negara ini supaya bersama-sama dan kekal komited untuk menjaga kesejahteraan rakyat Malaysia di samping memastikan kelestarian ekonomi,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!