MAIWP bantu 26,400 asnaf
KUALA LUMPUR - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memperuntuk RM12.99 juta bagi bantuan Aidilfitri kepada 26,400 asnaf di Wilayah Persekutuan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, bantuan RM500 akan disumbangkan kepada 25,700 asnaf manakala RM200 kepada anak-anak yatim di bawah kelolaan MAIWP iaitu Darul Kifayah Kuala Lumpur dan Labuan.
Menurutnya, turut menerima sumbangan berkenaan anak-anak dari keluarga asnaf yang belajar di Institut Kemahiran Baitulmal MAIWP serta pelatih di pusat perlindungan dan bimbingan wanita Dar Assaadah.
“Sumbangan Aidilfitri pada tahun ini disampaikan lebih awal berbanding tahun-tahun sebelum ini kerana Ramadan kali ini kita jalani dalam suasana normal baharu.
“Begitu juga dijangka dalam sambutan Aidilfitri ekoran penularan koronavirus (Covid-19), kita melihat terdapat keperluan menyalurkan bantuan awal dan diharap dimanfaatkan untuk kegunaan keperluan yang utama,” kata beliau.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri MAIWP Kepada Asnaf di Masjid Sultan Salahuddin Al-Ayyubi, Taman Melati di sini.
Zulkifli berkata, MAIWP juga bersetuju menyalurkan bantuan kecemasan kali kedua kepada mereka yang telah menerima bantuan zakat kecemasan MAIWP.
“Bantuan ini pada asalnya berbentuk one-off namun prihatin dengan situasi semasa dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah disambung ke fasa empat, maka bantuan ini sekali lagi disalurkan secara automatik tanpa perlu membuat permohonan baharu.
“Inisiatif membantu mereka yang terjejas pendapatan akibat PKP ini melibatkan anggaran perbelanjaan dana zakat hampir RM3.5 juta,” kata beliau.
Katanya, pembayaran bantuan zakat kecemasan kali kedua itu akan disalurkan secara berperingkat bermula awal Mei dan penerima akan menerima bantuan itu sebelum Aidilfitri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!