Pekerja lebuh raya diwajib miliki EOSP

 Aziz (dua, kanan) menyampaikan cenderahati kepada tetamu sambil diperhatikan Jamal (kiri)
Aziz (dua, kanan) menyampaikan cenderahati kepada tetamu sambil diperhatikan Jamal (kiri)
A
A
A

JOHOR BAHRU – Pekerja di lebuh raya kemungkinan akan diwajibkan untuk memiliki Pasport Keselamatan Operasi Lebuhraya (EOSP) dalam masa tiga tahun lagi.

Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Datuk Aziz Abdullah berkata, langkah berkenaan bertujuan mengurangkan kadar kemalangan membabitkan pengguna di lebuh raya.

"EOSP ini mungkin dijadikan mandatori kerana sudah terdapat banyak kemalangan melibatkan para pekerja penyelenggaran dan operasi lebuh raya akhir-akhir ini.

"Oleh itu, kita harap semua pekerja di lebuh raya mesti memiliki EOSP," katanya selepas menyempurnakan Seminar Vendor E22 di Hotel Holiday Villa, di sini, hari ini.

Hadir sama; Ketua Pegawai Eksekutif Senai Desaru Expressway Berhad (E22), Jamal Abd Nasir Taharim.

Seminar tersebut bertujuan untuk menyampaikan maklumat berkenaan pelaksanaan EOSP yang akan diguna pakai oleh E22 dalam setiap kontrak kerja-kerja kejuruteraan awam, elektrikal dan mekanikal yang bakal bermula tahun ini.

Aziz berkata, pada masa ini, terdapat 29 konsesi lebuh raya di negara ini.

"Telah ada dalam perancangan kita bahawa semua pekerja-pekerja lebuh raya ini pada masa akan datang mesti mempunyai EOSP.

Artikel Berkaitan:

"Ini kerana, kita melihat keselamatan adalah isu yang besar, bukan hanya melibatkan pekerja-pekerja di bahagian penyelenggaraan dan operasi malah juga pengguna lebuhraya,” katanya.

Beliau berkata, EOSP telah dimulakan oleh pihak pengurusan Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) pada dua tahun yang lalu berikutan kebimbangan terhadap kadar kemalangan membabitkan pekerja-pekerja lebuh raya.

“Setakat ini, hanya PLUS dan E22 sahaja yang melaksanakannya manakala syarikat-syarikat konsesi lain sedang berusaha ke arahnya,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!