Tiada lambakan PPE walaupun zon hijau
KOTA BHARU - Tiada isu lambakan peralatan perlindungan diri (PPE) berlaku di negeri ini walaupun Kelantan kini berada dalam zon hijau wabak koronavirus (Covid-19).
Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, PPE bukan sahaja digunakan untuk merawat pesakit Covid-19, namun ia digunakan sepanjang masa oleh kakitangan hospital.
“Alhamdulillah, kita mempunyai jumlah PPE mencukupi di hospital dan klinik sekarang ini. Terima kasih kepada semua pihak yang membantu menyediakan PPE tersebut kepada kita.
“Walau bagaimanapun, tidak timbul isu lambakan PPE kerana ia tetap digunakan sepanjang masa di hospital, walaupun bukan untuk Covid-19,” katanya kepada pemberita di sini.
Terdahulu, beliau ditemui di majlis penyerahan Gerobok Covid-19 yang disempurnakan oleh Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man di Wisma Persekutuan di sini hari ini.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai perkembangan semasa Covid-19 di negeri ini, Dr Zaini berkata, walaupun Kelantan kini berada dalam zon hijau, namun ia bukanlah tiket untuk mana-mana pihak bebas melakukan aktiviti tanpa aktiviti pencegahan.
“Konteks zon hijau adalah tiada kes aktif, walau macam mana sekalipun kita tidak boleh kata kita selamat 100 peratus sebab kita berdepan dengan virus yang kita tidak nampak.
“Banyak faktor yang memungkinkan perubahan zon hijau kepada kuning dan merah sebab itu kita harap masyarakat Kelantan terus patuh pada PKP, normal baharu mesti diteruskan supaya virus ini tidak melanda untuk masa-masa seterusnya.
“Kita kena betul-betul berhati-berhati sebab kita mesti mengekalkan warna hijau itu untuk selama-lamanya,” katanya.
Ketika ditanya mengenai kluster import yang mungkin membawa gelombang baharu penyakit itu, Zaini berkata, mereka yang pulang dari luar negara perlu dikuarantinkan selama 14 hari mengikut prosedur yang ditetapkan.
“Sekiranya mereka bebas, baharu kita keluarkan dari kuarantin. Pergerakan antara negeri pun sama, ada prosedur tertentu yang mereka perlu fahami dan ikuti,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!