Penahanan wartawan Iran sekadar permainan politik AS
TEHERAN - IRAN. Iran mendesak Amerika Syarikat (AS) supaya segera membebaskan seorang wartawan agensi berita Press TV yang ditahan pihak berkuasa negara itu.
Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zaif berkata, penahanan Marzieh Hashemi hanya bermotifkan politik.
Hashemi kelahiran AS bersama anak lelakinya diberkas ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa St Louis Lambert pada Ahad lalu.
Bagaimanapun, Biro Siasatan Persekutuan (FBI) enggan menyatakan sebab mengapa wanita berkenaan ditahan.
Wanita yang sebelum ini memegang nama Melanie Franklin dan telah memeluk Islam itu dilaporkan berkunjung ke AS untuk melawat ahli keluargnya.
"Suami Marzieh Hashemi adalah rakyat Iran, beliau juga rakyat Iran. Sudah semestinya menjadi tugas kami untuk membelanya.
"Penahanannya bermotifkan politik dan tidak boleh diterima. Ini adalah pencabulan hak asasi yang jelas dan nyata.
"Atas dasar itu, AS perlu segera menamatkan permainan politik ini," katanya.
Difahamkan, sehingga kini Hashemi belum didakwa secara rasmi oleh pihak berkuasa AS.
AS juga belum memberi sebarang maklum balas berhubung penahanan wanita terbabit.
Press TV sebelum ini mendakwa Hashemi mungkin menjadi sasaran kerana dokumentari yang dihasilkannya tentang aktiviti AS di Timur Tengah, isu Islamofobia dan lain-lain. - Anadolu Agency
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!