Beri masa syarikat bersedia

Akhbar Satar
Akhbar Satar
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dicadang menangguhkan penguatkuasaan undang-undang baharu Seksyen 17A di bawah Akta SPRM 2009 bersabit kesalahan rasuah syarikat korporat yang akan dilaksanakan 1 Jun ini.

Presiden Persatuan Pemeriksaan Penipuan Bertauliah Malaysia, Datuk Seri Akhbar Satar berkata, tarikh penguatkuasaan Seksyen 17A berkait liabiliti korporat itu perlu ditangguhkan setahun lagi agar ia dapat memberi tempoh mencukupi kepada syarikat untuk bersedia.

Menurutnya, tinjauan ke atas 100 syarikat senarai teratas di Malaysia oleh Institut Tadbir Urus Korporat (MICG) melibatkan 13 aspek program antirasuah seperti komitmen, latihan, pemberitahuan dan dasarnya mendapati hanya 13 syarikat mencapai skor lebih daripada 90 peratus tahun lalu.

"Ini bermakna, masih banyak lagi syarikat yang belum mampu melaksanakan tanggungjawab ini terutama syarikat yang besar.

"Penularan pandemik koronavirus (Covid-19) juga antara halangan dalam pelaksanaan peruntukan ini kerana ia mempengaruhi dan menjejaskan aktiviti perniagaan untuk berhubung antara satu sama lain," katanya dalam kenyataan hari ini.

Seksyen 17A itu diluluskan Parlimen pada 5 April 2018 dan di bawah peruntukan undang-udang itu, syarikat atau organisasi komersial dikenakan hukuman jika membenarkan pegawai dan kakitangan mereka melakukan rasuah untuk memperoleh sesuatu projek atau mendapat sesuatu faedah.

Objektif seksyen itu untuk menggalakkan aktiviti perniagaan dijalankan secara jujur dan bebas daripada rasuah, menggalakkan organisasi komersial melaksanakan langkah pencegahan rasuah dalam organisasi dan mempromosikan tadbir urus baik serta pematuhan undang-undang pencegahan rasuah.

Seksyen tersebut memperuntukkan denda tidak kurang 10 kali ganda nilai suapan atau RM1 juta, mengikut mana-mana yang lebih tinggi atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-dua sekali.

Artikel Berkaitan:

Katanya, cadangan pelaksanaan itu ditangguhkan akan memberi peluang kepada SPRM mengkaji semula peruntukan sedia ada dan ditambah baik seiring dengan amalan dipraktikkan di negara lain terutama di United Kingdom (UK) dan Singapura.

"Ia kerana masih terdapat banyak tanda tanya tentang seksyen ini. Misalnya sekiranya organisasi komersial didapati bersalah, siapa yang boleh dihukum?

"Adakah organisasi komersial itu sendiri, pengarah, orang yang mempunyai kawalan (terhadap organisasi komersial), rakan kongsi atau pegawai atau sesiapa yang terlibat dalam pengurusan organisasi komersial berkenaan?" soalnya.

Akhbar berkata, situasi berbeza jika seseorang individu membuktikan kesalahan organisasi komersial dilakukan tanpa keizinannya atau penglibatannya serta dia menjalankan segala usaha yang wajar untuk menghalang perlakuan salah tersebut.

"Justeru beberapa frasa dalam seksyen itu juga perlu digantikan supaya lebih tepat antaranya perkataan 'gratification' kepada 'improper payment' melibatkan segala pembayaran dibuat tidak wajar oleh perniagaan komersial bagi tujuan mendapatkan kontrak atau kerja tidak dikekang dengan niat untuk merasuah setengah pihak.

"Klausa 'Deferred Prosecution Agreement' (DPA) juga perlu dimasukkan dalam Seksyen 17A Akta SPRM seperti yang terdapat dalam peruntukan akta sedia ada di UK dan Singapura yang lebih berkesan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!