Sektor ekonomi dibuka, netizen minta semua patuh SOP
SHAH ALAM- Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan hampir semua sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan akan dibenarkan beroperasi tertakluk kepada syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Pengumuman itu ketika ucapan Perutusan Khas sempena Hari Pekerja di Bangunan Perdana Putra hari ini.
Ramai netizen menyambut baik keputusan tersebut namun meminta orang ramai berhati-hati dan tetap mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah digariskan.
Menurut komen-komen yang ditinggalkan netizen, mereka khuatir sekiranya ada segelintir daripada kita mengambil mudah akan langkah keselamatan setelah sektor ekonomi dibenarkan beroperasi nanti.
“Dalam PKP pun ada yang lolos. Kurang percaya rakyat Malaysia boleh ikut SOP yang ketat tu,” kata Ahmad Faizal pada ruangan komen.
Pada masa sama, ada yang mencadangkan kebenaran merentasi daerah dalam negeri yang sama bagi kawasan zon hijau.
“Dicadangkan agar rakyat boleh merentasi daerah dalam negeri yg sama bagi zon hijau dan perketatkan kawalan di sempadan negeri-negeri,” tulis Peccan Guy.
Netizen yang lain pula rata-ratanya berharap SOP PKP terus dipatuhi.
“PKP masih ada ya, PKP bersyarat. Siapa langgar syarat tetap kena,” kata Mohamad Syahidan.
Diharapkan orang ramai dapat menjaga keselamatan diri masing-masing dan tetap mengamalkan langkah kebersihan serta penjarakan sosial.
Semoga kelonggaran yang diberi digunakan dengan sebaiknya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!