Adira simpan kisah rumah tangga
TIDAK mahu lagi dikaitkan dengan sebarang kontroversi mahupun cerita negatif, penyanyi Adira tekad untuk membuka buku baharu untuk tahun 2019.
Malah kata ibu kepada dua cahaya mata ini, dia mahu kembali aktif dan fokus kepada kerjaya seninya selepas seketika hilang dari radar dunia seni kerana komitmennya pada rumah tangga.
“Kalau boleh saya tidak mahu lagi terpalit dengan sebarang kontroversi sebagaimana yang pernah terpalit pada saya sebelum ini.
“Saya sebolehnya akan cuba mengelakkan diri daripada perkara-perkara yang akan membawa saya ke arah itu malah akan memberi sepenuh fokus kepada kerjaya seni saya selepas ini.
“Bagi saya sudah cukuplah dengan kontroversi-kontroversi lalu dan saya banyak belajar daripada pengalaman lalu,” akui Adira jujur.
Malah kata Adira selepas bergelar ibu kepada dua anak, dia merasakan diri lebih matang dan bertanggungjwab kepada orang di sekelilingnya.
“Dulu masa single, kalau ada kontroversi kita sahaja yang hadap. Tetapi bila sudah bergelar isteri dan ibu, saya tidak mahulah perkara itu terpalit kepada anak-anak dan keluarga.
“Jadi saya cuba tak nak dikaitkan dengan kontroversi-kontroversi yang bukan datangnya dari saya,” katanya yang tidak suka membaca komen-komen negatif netizen.
Menyifatkan kehidupannya kini bahagia bersama suami, Datuk Seri Adnan Abu atau Datuk Red dan dua cahaya mata, penyanyi yang mendapat jolokan Ratu Soundtrack ini menegaskan mahu menyimpan kisah rumah tangganya sebagai cerita peribadi dan hanya berkongsi tentang kerjaya seni.
“Saya bahagia dengan apa yang saya miliki kini, apatah lagi menjadi ibu kepada dua orang cahaya mata, Anggerik dan Asan.
“Pada saya, biarlah orang di luar sana hanya tahu tentag kerjaya seni saya sahaja. Sementara hal selainnya, biarlah saya sendiri yang simpan. Kalau berkongsi di media sosial pun, hanya yang saya rasa mahu berkongsi sahaja.
Dalam perkembangan lain, Adira yang ditemui di majlis pelancaran single dan muzik video Pujaan Hati yang berlangsung di The Garden Malls, Kuala Lumpur, pada Rabu, meluahkan rasa terharunya apabila single terbaharu nyanyiannya itu mendapat perhatian ramai.
“Saya rasa syukur sangat apabila single Pujaan Hati yang menjadi lagu tema drama bersiri Pujaan Hati Kanda ini mendapat sambutan luar biasa daripada peminat sehingga jumlah tontonannya mencecah hampir 1 juta sejak dilancarkan Disember lalu.
“Lagu ciptaan Ikhwan Fatanna dan Ayden Ali ini juga merupakan single pertama saya bersama syarikat rakaman Nova Music, sekaligus menjadi langkah awal saya untuk kembali aktif dalam bidang nyanyian pada tahun ini,” katanya.
Pujaan Hati kini boleh didapati di kesemua platform muzik digital termasuk Itunes, Spotify, Apple Music, Joox, KKBox dan lain-lain.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!