Hormati perasaan, pekerjaan orang

A
A
A

SEMALAM kita sepatutnya menyambut Hari Pekerja. Hari Pekerja (baca: Hari Buruh) yang lazimnya jatuh pada setiap 1 Mei dilakukan bagi memperingati perjuangan kaum buruh dalam menuntut dan melindungi hak mereka sebagai pekerja sepertimana sejarahnya.

Namun begitu, sambutannya pada kali ini agak muram. Tiada sebarang sambutan, perarakan atau perhimpunan yang dilakukan seperti selalu. Yang ada hanya pihak Cuepacs mengadakan program melalui Facebook Live dan ucapan khas daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dari Putrajaya sebagai mengisi acara.

Cuti umum bersempena dengan Hari Pekerja juga hanya berlalu tanpa sebarang aktiviti bersantai, walaupun ia jatuh pada hujung minggu yang panjang. Disebabkan Covid-19, segalanya tergendala.

Lebih sayu, barisan hadapan kita masih lagi bekerja bagi memastikan negara terus selamat dan terkawal daripada wabak durjana. Walaupun tahu akan risiko dan bahaya yang dihadapi, mereka tetap komited bekerja di luar sana bagi memastikan kita semua terus dilindungi dan sentiasa selamat.

Begitulah besarnya jasa dan pengorbanan mereka kepada semua. Sebab itu mereka layak dan menepati tema sambutan hari pekerja negara pada tahun ini: “Pekerja Tunjang Kelestarian Negara”. Mereka sememangnya tunjang kepada kelestarian kesihatan dan kesejahteraan negara dalam melawan Covid-19.

Disebabkan mereka semua, negara mampu bertahan dan berjaya melandaikan kes jangkitan wabak itu daripada menular, malah kadar kesembuhan Covid-19 Malaysia (sekitar 70 peratus daripada jumlah keseluruhan kes) merupakan antara yang terbaik di dunia.

Cuma yang tak berapa sedapnya, dalam semua sumbangan dan pengorbanan mereka itu, ada beberapa individu korporat yang mengeluarkan kenyataan yang tidak berapa sedap untuk mereka.

Walaupun kenyataan itu bersifat umum terhadap perkhidmatan awam, namun ia telah mencetuskan kemarahan kepada pekerja barisan hadapan negara yang majoritinya adalah penjawat awam.

Artikel Berkaitan:

Walaupun syor dan pandangan itu bersifat peribadi dalam konteks orang berniaga, kenyataan itu tidak sepatutnya dilakukan. Ia dibuat pada masa yang tidak sesuai dan dalam masa sama menimbulkan persepsi yang salah terhadap perkhidmatan awam.

Dalam kes warga barisan hadapan kita, kenyataan itu barangkali sedikit sebanyak akan menjejaskan semangat dan daya kerja mereka setelah hampir sebulan bekerja tanpa henti semata-mata untuk memastikan negara terhindar daripada ancaman Covid-19.

Ketika ini semua penjawat awam masih bekerja seperti biasa. Cuma caranya yang berbeza. Sebagai contoh, kalau guru dan pensyarah sebelum ini mengajar di dalam kelas atau bilik kuliah, sekarang ia berjalan secara maya di atas talian.

Perkhidmatan penting (essential) masih lagi berfungsi seperti sedia kala, tata pengendaliannya sahaja yang berubah.Tidak perlulah melenting kepada sesiapa kerana bahana Covid-19 ini kena pada semua tanpa diminta.

Semua orang telah bekerja memainkan peranan dan menyumbang mengikut kemampuan serta kapasiti masing-masing dalam apa jua bentuk, baik secara langsung atau tidak langsung.

Hormatilah pekerjaan seseorang itu atas apa adanya dan berpadalah juga dalam menilainya. Kita tidak mengetahui bagaimana pekerjaannya melainkan orang dalam bidang itu sendiri kerana khuatir terjadi sepertimana kata pujangga penyair Yunani yang terkenal, Sophocles. Dia mengungkapkan, “There is a point at which even justice does injury” (Ada ketikanya di mana keadilan bahkan mencederakan).

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!