Rohingya jangan tunjuk belang

A
A
A

TOK ucapkan Selamat Hari Pekerja kepada semua, mudah-mudahan pada bulan al-Mubarak dan musim PKP ini kita diberi kesempatan untuk bekerja seperti biasa.

Ada berita baik yang disampaikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam bahawa semua sektor ekonomi yang ditutup sejak PKP kini dibuka semula.Maknanya mana-mana pekerja dan petugas yang terlibat dalam sektor penting ini dapat semula bertugas, mendapat gaji dan sekali gus menyumbang kepada kesejahteraan negara.

Setelah dua bulan memerap di rumah berikutan PKP, bertugaslah dengan semangat baharu sambil menghadapi pelbagai normal baharu yang ditimbulkan oleh Covid-19.

NAMPAKNYA Covid-19 di tempat kita semakin menurun dengan jumlah jangkitan harian semakin mengecil, malah di sesetengah kawasan tiada sebarang kes baharu sejak beberapa hari ini.

Sejak dua hari lalu ada kelonggaran sedikit diberikan – ketua keluarga sudah boleh membawa seorang lagi isi rumah keluar membeli barang keperluan.Maka Tok pun buat pertama kali dapat mengikut isteri ke pasar raya untuk sama menyibuk di tempat membeli-belah.

Di jalan raya kenderaan semakin banyak walaupun tidak sesak seperti biasa. Isteri suka sebab bertemankan suami, boleh suruh suami menolak troli.Tetapi Tok ingat sesetengah suami yang selama ini berseorangan tidak berapa suka ditemani isteri, sebab dengan isteri menjadi teman banyak benda yang diminta beli, boleh terlebih bajet dibuatnya...

MESKIPUN sektor ekonomi telah beroperasi, itu tidak bererti kita sudah bebas daripada ancaman virus maut yang telah mengorbankan beratus ribu nyawa di seluruh dunia.

Covid-19 terus mengancam kita! Bahaya virus maut itu sentiasa ada di keliling kita. Seperti yang ditegaskan oleh Muhyiddin, PKP masih berkuat kuasa dan semua orang mesti sentiasa akur dan mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

Walaupun restoran – tentu sekali termasuk nasi kandar! – telah dibuka dan boleh makan di premis berkenaan, sentiasa pastikan penjarakkan sosial ketika berada di dalamnya.

Kita sendirilah yang sebenarnya menjadi penentu kepada berakhirnya wabak maut ini. Sama seperti petugas barisan hadapan kitalah yang mesti sentiasa menjaga kebersihan diri setiap masa.

MAKA antara normal baharu itu ialah kita mungkin tidak boleh balik kampung untuk beraya bersama orang tersayang tahun ini.

Tok sendiri terasa susah untuk menerima hakikat ini. Walaupun sudah lebih 40 tahun menjadi warga KL, belum pernah sekali Tok dan keluarga tidak balik beraya di kampung. Macam mana bersusah-payah pun, takbir pagi Syawal mesti di Bukit Gambir, Tangkak atau di Kuala Terengganu.

Aidilfitri tahun ini insya-ALLAH pertama kali Tok beraya di perantauan. Hendak menangis pun sudah tua, malu pada cucu!

WALAUPUN dalam suasana PKP, ada sesetengah perkara yang tidak termasuk dalam normal baharu setiap kali menjelang raya, terutama bagi orang perempuan.

Tok difahamkan PKP atau tidak, baju raya masih menjadi keutamaan bagi sesetengah orang.

Ramai tukang jahit di KL khasnya tidak cukup tangan seperti biasa menyiapkan tempahan awal daripada pelanggan.Maka Tok tertanya-tanya sekiranya PKP berterusan dan tidak ada kunjung-mengunjung Aidilfitri, baju-baju itu agaknya hanya dipakai di rumah sendiri dan diperagakan dan ditonton oleh sesama anggota keluarga!

AKHIR kalam mengenai pendatang Rohingya. Seperti yang diberitakan mereka mula menunjuk belang dengan berbuat onar dan menuntut hak yang bukan-bukan.

Mereka mula menyusahkan pihak berkuasa dan rakyat tempatan dengan membuat kacau, melakukan jenayah dan tidak mahu mengikut peraturan.

Bukanlah Tok tidak bersimpati dengan nasib pelarian yang seagama dengan kita tetapi sekiranya mereka sebagai pendatang tidak sedar diri sehingga menyusahkan penduduk tempatan, kita tidak boleh biarkan.

Maka kerajaan kena betul-betul tegas dalam menangani isu Rohingya, jangan sampai hak dan keutamaan rakyat tempatan terjejas dan digugat oleh pendatang asing!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!