Nak tolong, tolong betul-betul

No Image Caption
A
A
A

RAKYAT sebetulnya tak mahu tahu jikalau Bank Negara Malaysia (BNM) boleh ‘terlepas pandang’ atau berlaku ‘kealpaan’ dalam tindakan bank pusat itu.

Mereka cuma perlukan bantuan kerajaan dalam menghadapi krisis Covid-19. Dalam hal ini mereka berharap kerajaan akan tolong ringankan beban mereka.

Ini termasuklah moratorium enam bulan pembayaran pinjaman dan pembiayaan. Hal ini diumumkan pada 25 Mac lepas beberapa hari setelah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan.

Tan Sri Perdana Menteri kata langkah ini nak bantu rakyat. Rakyat senang hati dan lapang dada. Mereka ucap terima kasih oleh sebab mereka tak perlu susah-susah buat permohonan. Semua secara automatik.

Tiba-tiba keluar arahan baharu dua hari lepas oleh BNM. Ada pula syarat tambahan moratorium yang dikenakan. Puncanya BNM ‘terlepas pandang’. Peminjam perlu berhubungan dengan bank pula untuk bincang.

Maka macam-macamlah reaksi rakyat dalam hal ini. Rata-rata mereka terkejut. Kenapa jadi begini? Kalau nak tolong, tolonglah cara jujur. Tolong sampai habis. Jangan separuh jalan. Jangan tukar dasar ikut desakan pihak lain. Utamakan rakyat.

Beri keutamaan pada peminjam yang menderita, bukan yang memberi pinjam. Ini masanya bank-bank ambil sikap prihatin. Bantu kerajaan untuk bantu rakyat. Bukan fikir nak buat untung berbilion ringgit sahaja. Menteri Kewangan yang datang daripada bank, apa komen?

Kenapa lantik orang politik?

Artikel Berkaitan:

SEMENJAK kerajaan Tan Sri Perdana Menteri ambil alih Putrajaya, nampaknya dah jadi dasar baharu orang politik dilantik ke institusi, agensi,perbadanan, badan berkanun, macam-macam lagi.

Tak apalah kalau yang ditukarkan itu mereka yang tak layak atau yang tak berprestasi tinggi. Tukarkanlah. Tapi yang peliknya, mereka digantikan semata-mata oleh sebab nak masukkan orang politik.

Masa kerajaan Pakatan Harapan (PH) dasarnya tegas, orang politik tak boleh dilantik di tempat-tempat seperti itu.

Dasar itu dibuat oleh sebab nak pastikan badan-badan tersebut ditadbir secara profesional dan tak ada gangguan politik. Itu baru namanya ketelusan dan dasar tadbir urus yang betul.

Pada pendapat Awang tak usah korbankan profesionalisme semata-mata kerana nak pastikan sokongan. Yang rosak badan-badan itu nanti. Hal ini dah berlaku dulu.

Jangan pisang berbuah dua kali. Awang nampak lantikan cara ini pun tak selesaikan masalah. Macam kes beberapa pelantikan di Johor.

Khabarnya di sana dah berlaku soal-menyoal dalam hal pelantikan. Apabila mantan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Khaled Nordin yang bukan Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri dilantik Pengerusi Yayasan Pasir Gudang, maka orang parti Bersatu naik marah.

Khabarnya soal perlantikan ini adalah salah satu punca ketegangan di antara UMNO dan parti Bersatu di Johor. Khabarnya hanya retak menanti belah. Itu hanya satu contoh. Pendeknya orang politik tak akan puas hati kalau orang politik dapat tempat. Oleh sebab itu patut elak lantik orang politik.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!