'Disahkan negatif Covid-19, ibarat hadiah hari jadi saya'

A
A
A

BANGI - Menyambut hari lahir di Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN) menjadi kenangan terindah buat seorang lelaki walaupun ketika itu dia dikuarantin kerana disyaki positif koronavirus (Covid-19).

Lebih menggembirakan, Anas Zulhelmi Mohd Amin disahkan negatif wabak itu selepas menyambut hari ulang tahun kelahiran ke-20 pada 26 April lalu.

Bercerita kepada Sinar Harian, kata Anas, dia sangat gembira kerana dapat pulang ke rumah selepas dua minggu berada di pusat kuarantin

"Berita itu ibarat hadiah hari jadi saya. Syukur dan gembira kerana dapat pulang ke rumah selepas dua minggu berada di hospital.

"Kali pertama disahkan positif, saya dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh. Kemudian selepas lima hari, saya dipindahkan ke Pusat Kawalan Kusta Negara dan mula menyambut Ramadan di sana," katanya.

Anak kedua daripada empat beradik itu berkata, dia menghargai semua petugas perubatan yang menjaganya dalam tempoh tersebut.

“Mereka melaksanakan tugas dengan baik dan sentiasa memastikan kami terjaga. Saya tidak dapat melupakan pengorbanan mereka," katanya.

Menurutnya, sepanjang dikuarantin, dia dan rakan-rakan memenuhi masa terluang dengan membaca al-Quran untuk menghilangkan rasa rindu kepada keluarga.

Artikel Berkaitan:

"Kami juga membaca Yasin dan tahlil selepas solat setiap hari untuk mendoakan kesejahteraan bersama,” katanya.

Katanya, sepanjang berada di PKKN, mereka menunaikan solat berjemaah dan solat sunat tarawih 20 rakaat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!