Rindu Ramadan di Pakistan, Yaman

Muhammad Khalil (kanan) bersama rakannya sewaktu belajar di Yaman.
Muhammad Khalil (kanan) bersama rakannya sewaktu belajar di Yaman.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Suasana malam yang 'hidup' dengan pelbagai aktiviti sepanjang Ramadan di Pakistan dan Yaman pastinya sangat dirindui Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Burok, Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Beliau yang berpeluang menyambung pengajian peringkat Thanawi di Karachi, Pakistan dari tahun 1993 hingga 1997 dan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Syariah Pengajian Islam dari tahun 1997 hingga 2001 di Yaman berkata, perbezaan budaya menjadikan suasana Ramadan di negara berkenaan sangat unik baginya.

Muhammad Khalil Abdul Hadi
Muhammad Khalil Abdul Hadi

Menurutnya, walaupun 'roh' atau semangat Ramadan itu sama, tapi pendekatan dan cara sambutannya berbeza mengikut adat setempat.

"Di Yaman dan sebahagian besar negara di Timur Tengah misalnya, suasana malamnya 'hidup' termasuk pasar dan kedai-kedai dibuka pada waktu sahur.

"Saya ingat lagi sewaktu pergi ke masjid nak solat tarawih, dalam masjid dipenuhi dengan asap. Rupa-rupanya memang adat di Yaman, mereka akan pasang atau bakar kayu gaharu dalam masjid.

Menurutnya, di dalam masjid akan dipenuhi kepulan asap, tetapi menariknya ia mendamaikan dengan bau haruman kayu gaharu.

"Barulah saya tahu mereka akan membakarnya (kayu gaharu) sewaktu menunaikan solat tarawih dan qiam.

Artikel Berkaitan:

"Masjid di sana juga 'hidup' bukan sahaja dengan aktiviti solat dan tarawih, tetapi mereka pertingkatkan dengan amalan tadarus al-Quran, terutama 10 malam terakhir Ramadan," katanya.

Muhammad Khalil yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat berkata, kenangan di Pakistan juga adakalanya menggamit memori dan rindunya.

Muhammad Khalil (depan, dua dari kiri) bersama rakan senegara sewaktu belajar di Yaman.
Muhammad Khalil (depan, dua dari kiri) bersama rakan senegara sewaktu belajar di Yaman.

"Masyarakat di sana katanya, sangat meraikan mereka yang berpuasa dan kebiasaannya, hidangan paling masyhur di sana adalah nasi beriani," katanya.

Katanya. pihak masjid dan orang-orang 'berada' biasanya akan menjemput orang ramai berbuka puasa dengan menu istimewa iaitu nasi beriani kambing, daging, ayam dan ikan.

"Di Pakistan juga, apabila bulan Ramadan, akan ditugaskan seseorang untuk naik basikal dan ronda kawasan kediaman secara berjadual untuk mengejutkan orang ramai bangun sahur.

"Apabila teringat dan terkenang perbezaan Ramadan di negara luar, bagi saya ia satu pengalaman yang unik, menarik dan ada benda yang kita boleh belajar dan aplikasikan di tempat kita," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!