Isu warga asing 'kebal': MPK ucap terima kasih kepada ADUN
KLANG - Majlis Perbandaran Klang (MPK) mengucapkan terima kasih atas isu yang dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri mengenai dakwaan warga asing didakwa 'kebal' dengan menjalankan operasi perniagaan sewenang-wenangnya di sekitar kawasan Klang walaupun ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata, pihaknya mengambil maklum atas isu yang diutarakan Adun Pelabuhan Klang itu.
"MPK sedia maklum atas isu yang diutarakan, kita ucapkan terima kasih.
ARTIKEL BERKAITAN: Warga asing 'kebal' bebas berniaga musim PKP?
"Dalam soal ini, kita mengalukan sesiapa sahaja untuk mengemukakan aduan dan memberikan pandangan mengenai sebarang isu termasuklah isu melibatkan warga asing," katanya kepada Sinar Harian.
Tegas Ahmad Fadzli, tidak timbul soal pilih kasih dalam setiap tindakan dan penguatkuasaan yang dijalankan oleh pihak Majlis Perbandaran Klang.
"Kita sentiasa memantau dan menjalankan penguatkuasaan seperti mana yang diperuntukkan undang-undang, namun dalam hal seperti keluasan Klang ini sendiri, kekangan dari segi keluasan.
"Kita jalankan penguatkuasaan dan tindakan hari ini, dan esok mereka akan buka balik, namun apa pun tindakan dan pemantauan tetap kita jalankan," katanya.
Katanya, dalam musim Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) ini apa yang menjadi keutamaan adalah dari sudut nyawa.
"Kita jalankan penguatkuasaan berdasarkan ketetapan oleh Majlis Keselamatan Negara, tiada siapa terlepas dari sudut undang-undang," tambahnya.
Terdahulu, warga asing didakwa 'kebal' dengan menjalankan operasi perniagaan sewenang-wenangnya di sekitar kawasan Klang walaupun ketika Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) dilaksanakan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri yang membuat siaran langsung melalui Facebooknya ketika tinjauan di beberapa kawasan di sini semalam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!