Risiko kluster pasar borong

Pekerja Alam Flora terlibat kerja pembersihan di Pasar Harian Selayang semalam.
Pekerja Alam Flora terlibat kerja pembersihan di Pasar Harian Selayang semalam.
A
A
A

PEJAM celik sudah 46 hari rakyat Malaysia menjalani tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula dengan fasa pertama pada 18 Mac lalu. Meskipun tidak dapat menjalani rutin kehidupan normal namun ia satu pengorbanan demi mencapai objektif utama memutuskan rantaian jangkitan Covid-19. Justeru, kita harus terus bertahan.

Bukan sahaja Malaysia, malah seantero dunia kini berperang untuk mengalahkan pembunuh tidak kelihatan yang setakat ini menjangkiti 3.2 juta orang dan meragut lebih 233,000 nyawa di seluruh dunia.

Merujuk kepada data Johns Hopkins University, Amerika Syarikat kekal menduduki tangga teratas kes jangkitan tertinggi dengan lebih sejuta kes diikuti Sepanyol dan Itali, masing-masing melebihi 200,000 kes.

Bagi Asia Tenggara, Singapura tertinggi dengan lebih 17,000 kes jangkitan diikuti Indonesia iaitu lebih 10,000 kes dan Filipina lebih 8,000 kes jangkitan Covid-19.

Di Malaysia, jangkitan mencecah 6,071 kes dengan 103 kematian setakat semalam dan angka tersebut membuktikan perjuangan negara membendung penularan virus masih belum selesai.

Dr Zainal Ariffin Omar
Dr Zainal Ariffin Omar

Kita perlu berjaga-jaga dan bersedia dengan segala kemungkinan yang boleh menyebabkan virus tersebut menular lebih luas dalam kalangan masyarakat.

Jika sebelum ini kita mendengar tentang beberapa kluster jangkitan Covid-19, antaranya melibatkan perhimpunan tabligh di Sri Petaling, persidangan keagamaan gereja di Kuching, Sarawak, kluster majlis perkahwinan di Bandar Baru Bangi serta beberapa sub-kluster seperti sub-kluster madrasah di Jerantut, Pahang dan Sungai Lui di Selangor, kini muncul pula kluster pasar borong.

Artikel Berkaitan:

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, peniaga di Pasar Awam Bahau di Jempol, Negeri Sembilan dan Pasar Pagi Taman Megah, Petaling Jaya, Selangor yang disahkan positif Covid-19 berpunca daripada kluster Pasar Borong Kuala Lumpur di Selayang.

“Ini bukan kluster baharu sebab kita dapati peniaga tersebut adalah daripada kluster Pasar Borong Kuala Lumpur dan kembali ke Pasar Awam Bahau dan jalankan perniagaan di situ.

“Kita juga anggap peniaga (di Pasar Pagi Taman Megah) tersebut ialah kluster Pasar Borong Kuala Lumpur,” katanya pada sidang media di Putrajaya baru-baru ini.

Terdahulu, kerajaan terpaksa melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sehingga 3 Mei ini di Pusat Bandar Utara, Kuala Lumpur dan kawasan sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur di Selayang susulan kewujudan 28 kes positif Covid-19 di lokasi berkenaan dengan satu kematian membabitkan warga Myanmar berusia 36 tahun.

Proses sanitasi

Arahan PKPD tidak membabitkan penutupan Pasar Borong Kuala Lumpur yang juga dikenali sebagai Pasar Borong Selayang, namun premis tersebut telah ditutup selama empat hari bagi tujuan proses sanitasi berikutan ramai pekerja pasar borong itu tinggal dalam kawasan terlibat PKPD.

Dr Malina Osman
Dr Malina Osman

Bercakap tentang pasar borong, satu perkara yang harus diingat ialah premis berkenaan merupakan tempat tumpuan awam yang biasanya dipenuhi pekerja warga asing. Timbul persoalan adakah ia boleh menyebabkan negara ditimpa nasib sama seperti Singapura yang mengalami peningkatan mendadak jumlah kes Covid-19 akibat penularan dalam kalangan pekerja warga asing?

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berpendapat, Pasar Borong Kuala Lumpur itu seharusnya telah lama dipantau rapi berikutan terdapat ramai warga asing.

“Malah terdapat khabar angin mengatakan ada antara pekerja asing itu telah pergi ke Masjid Sri Petaling mengikuti program perhimpunan tabligh,” kata Zainal Ariffin kepada Sinar Harian semalam.

Beliau menegaskan, sekiranya tiada kawalan ketat dilaksanakan, situasi akan menjadi lebih teruk daripada Singapura.

“Sekurang-kurangnya di Singapura, mereka tinggal di asrama pekerja yang mudah dikawal tetapi pekerja pasar borong ini tinggal di kawasan perumahan yang sesak,” katanya.

Zainal Ariffin turut menambah, keadaan pasar dan kediaman pekerja asing yang sesak boleh menjadi pusat jangkitan kepada orang awam yang lain.

“Pasar borong terbabit bukan sahaja menjadi tempat tumpuan peniaga pasar awam yang lain tetapi juga kedai-kedai runcit di sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan serta restoran dan pengusaha makanan,” katanya lagi.

Ditanya apa langkah sewajarnya dilakukan kerajaan untuk mengatasi ancaman kluster pasar borong, beliau mencadangkan beberapa langkah termasuk melakukan pengesanan kontak di kawasan luar pasar, penutupan terus operasi pasar buat sementara waktu, meningkatkan tahap kebersihan keseluruhan premis pasar borong bukan setakat melakukan proses nyahcemar serta melakukan penyusunan semula dari segi pemilik dan susun atur fizikal.

Sementara itu, Pakar Kesihatan Awam (Epidemiologi/Biostatistik) Jabatan Mikrobiologi dan Parasitologi Perubatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Malina Osman mengakui, kumpulan warga asing itu adalah kelompok yang telah dikenal pasti berpotensi menyebabkan kluster baharu wabak Covid-19.

“Apa yang berlaku di Singapura, mereka mempunyai penempatan asrama yang sama. Difahamkan berlaku kesesakan di asrama pekerja sehingga menyebabkan penyebaran wabak Covid-19 dalam kalangan mereka.

“Semasa wabak mula dikesan di Singapura, sistem pemantauan tidak meletakkan kumpulan ini sebagai kumpulan berisiko menyebabkan langkah pencegahan tidak dititikberatkan pada ketika itu,” katanya.

Malina berkata, situasi agak berbeza di Malaysia di mana kebanyakan pekerja mempunyai penempatan masing-masing (bukan asrama).

“Pendedahan kepada risiko jangkitan kebanyakannya berlaku di tempat kerja. Risiko masih ada tetapi tidak setinggi jika berkongsi asrama,” katanya.

Menurut Malina lagi, sekiranya pekerja tinggal di asrama yang sesak serta tidak mempunyai kemudahan pengudaraan yang baik, jangkitan mudah tersebar.

“Namun, risiko berkenaan berkemungkinan turut disumbangkan sekiranya pasar itu yang mempunyai ruang yang terhad, kurang ventilasi serta kadang-kadang mempunyai pelanggan agak ramai dan tidak terkawal. “Risiko jangkitan ini juga bukan hanya melibatkan pekerja asing tetapi juga untuk pekerja tempatan yang bekerja di ruang yang sama,” katanya.

Malina berkata, langkah segera yang telah dilaksanakan kerajaan seperti PKPD mampu untuk menyekat penularan ke tempat lain. Selain itu memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) untuk urus niaga di pasar-pasar, aplikasi online seperti e-bazar/ e-pasar melalui Apps serta penghantaran terus ke rumah juga boleh membantu mencegah penularan virus Covid-19.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!