Bangunan UMNO Selangor tidak akan dijual: Noh
SHAH ALAM - Bangunan UMNO Selangor tidak akan dijual kepada mana-mana pihak dan bakal dipulihkan semula selepas ini.
Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, pihaknya mempunyai perancangan untuk membangunkan semula bangunan itu dengan menjadikannya sebagai sebuah pusat usahawan (entreprenuer center).
Beliau berkata, tingkat lima dan enam bangunan berkenaan sememangnya sudah mempunyai beberapa kemudahan seperti ruang bilik pejabat, bilik seminar, bilik mesyuarat dan sebagainya.
"Kemudahan ini amat bersesuaian untuk disewa oleh anak-anak muda yang baharu ingin memulakan perniagaan dan memerlukan kemudahan pejabat kecil dengan bayaran sewaan rendah.
"Jadi kita akan bangunkan semula kemudahan yang ada di bangunan ini dan buka peluang sewaan kepada pihak luar," katanya menerusi temu bual bersama Sinar Harian di Bangunan UMNO Selangor semalam.
Sebelum ini, isu penjualan bangunan UMNO Selangor menjadi polemik dalam kalangan ahli parti itu selepas dikhabarkan ada di antara ketua bahagian yang membantah cadangan tersebut.
Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos merupakan antara pemimpin yang membantah cadangan penjualan bangunan itu yang dikatakan menjadi mercu kepada kekuatan ahli serta parti Melayu itu.
Kepimpinan tertinggi UMNO Selangor yang ketika itu diterajui Pengerusinya, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan sebelum ini dilaporkan terpaksa membuat cadangan penjualan bangunan tersebut selepas berdepan kekangan kewangan ekoran akaun parti itu dibekukan oleh pihak berkuasa.
Mengulas lanjut mengenai perkembangan itu, Noh berkata, buat masa ini, akaun milik UMNO Selangor masih dibekukan oleh pihak berkuasa dan peguam juga sudah dilantik bagi menguruskan perkara itu.
"Dengan apa yang ada sekarang, saya akan berusaha untuk bangunkan semula bangunan ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!