Bukit Kledang lokasi tumpuan joging terus ditutup

Kawasan rekreasi Bukit Kledang akan terus ditutup kepada orang ramai sepanjang tempoh PKP dikuatkuasakan.
Kawasan rekreasi Bukit Kledang akan terus ditutup kepada orang ramai sepanjang tempoh PKP dikuatkuasakan.
A
A
A

IPOH - Kawasan rekreasi Bukit Kledang di Menglembu di sini yang sering menjadi tumpuan aktiviti joging dan mengayuh basikal akan terus ditutup kepada orang ramai.

Pengarah Perhutanan Perak, Datuk Mohamed Zin Yusop berkata, langkah itu dibuat selari dengan penutupan 14 Taman Eko Rimba di negeri ini sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

"Meskipun Bukit Kledang dibangunkan oleh orang awam namun ia berstatus hutan simpan dan di bawah kawalan Jabatan Perhutanan Negeri.

"Oleh itu, sebarang aktiviti hutan mahupun rekreasi di situ adalah tidak dibenarkan buat masa ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Menurutnya, di bawah pengurusan perhutanan iaitu ekopelancongan seperti rekreasi hutan adalah termasuk dalam aktiviti tidak dibenarkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Atas faktor itu, pihak jabatan akan terus menutup operasi taman-taman eko rimba ini sehingga suatu tempoh dimaklumkan kelak," katanya.

Menerusi pengumuman dibuat kerajaan, semalam antara perkara dibenarkan sepanjang PKPB adalah joging, kayuhan basikal, golf dan larian dalam kumpulan kecil tidak melebihi 10 orang, juga dibenarkan dengan syarat mengamalkan penjarakan sosial dan elakkan sentuhan badan.

Bukit Kledang yang berketinggian hampir 800 meter itu terkenal sebagai lokasi joging, aktiviti pendakian dan berbasikal kalangan penduduk tempatan dan luar.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!