Hotel beri penginapan percuma kepada petugas hadapan

Hotel Rosa Malacca, di Melaka bekerjasama dengan Hotel De La Ferns di pusat peranginan Cameron Highlands menyediakan sejumlah 150 bilik kepada barisan hadapan untuk percutian mereka.
Hotel Rosa Malacca, di Melaka bekerjasama dengan Hotel De La Ferns di pusat peranginan Cameron Highlands menyediakan sejumlah 150 bilik kepada barisan hadapan untuk percutian mereka.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebagai tanda penghargaan kepada petugas barisan hadapan di Hospital Selayang, Selangor, dua buah hotel menawarkan penginapan percuma kepada petugas berkenaan, sebaik sahaja Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan.

Hotel Rosa Malacca, di Melaka bekerjasama dengan Hotel De La Ferns di pusat peranginan Cameron Highlands menyediakan sejumlah 150 bilik kepada barisan hadapan untuk percutian mereka.

Pengarah Urusan Hotel Rosa Malacca, B. Sharavana Kumar berkata, tawaran ini sebagai penghargaan kepada petugas perubatan yang telah bekerja siang dan malam tanpa cuti rehat serta bekerja selama berjam-jam dalam menyelamatkan nyawa semasa menghadapi ancaman pandemik Covid-19.

"Ini adalah tanggungjawab sosial yang ingin kami praktikkan dalam memberi penghargaan kepada 'wira yang tidak didendang' setelah wabak itu berakhir," katanya kepada Bernama.

Katanya, baucar penginapan selama dua hari satu malam boleh ditebus mulai 1 Jun dan sah selama sembilan bulan.

Sharavana berkata, idea untuk memberikan penginapan percuma kepada barisan hadapan tercetus ketika beliau berada di rumah semasa PKP dan menyedari bagaimana barisan hadapan telah berkorban demi keselamatan rakyat.

Sementara itu, Pengarah Urusan Hotel De La Ferns, B Rhakjesh Paaren berharap, lebih ramai pengusaha hotel turut serta dalam usaha memberi penghargaan kepada barisan hadapan yang telah bekerja sepanjang masa untuk meratakan lengkung penularan wabak Covid-19.

Katanya, langkah itu juga akan membantu mempromosikan industri pelancongan tempatan.

Artikel Berkaitan:

Menyentuh mengenai menangani situasi semasa, Rhakjesh berkata, Rosa Malacca dan De La Ferns telah memperoleh keuntungan pada tahun-tahun sebelumnya dan juga menggunakan insentif yang diberikan oleh kerajaan untuk mengekalkan pembayaran gaji kakitangan tanpa mengenakan pemotongan gaji, kerana pihak pengurusan mengambil serius terhadap hal ehwal dan kehidupan kakitangan mereka.

"Kedua-dua hotel akan mengambil langkah sebaiknya untuk menjalankan proses pembersihan dan pembasmian kuman di setiap bilik dan kemudahan berdasarkan garis panduan oleh Persatuan Hotel Malaysia.

“Kelebihan menjadi hotel yang lebih kecil adalah ia mempunyai jumlah kedatangan tetamu yang rendah dan kakitangan hotel akan dapat menumpukan kepada proses pembersihan yang lebih terperinci," tambahnya.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!