Operasi besar-besaran buru PATI elak penularan Covid-19: KPN

Tan Sri Abdul Hamid Bador
Tan Sri Abdul Hamid Bador
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tindakan agensi keselamatan dan penguatkuasaan melakukan operasi besar-besaran memburu pendatang asing tanpa izin (PATI) semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bertujuan membendung penularan wabak Covid-19.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, warga asing yang tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan sah sukar dikesan sekiranya dijangkiti Covid-19 selain berisiko menyebabkan penularan wabak berkenaan apabila mereka bergerak ke lokasi lain.

Menurutnya, warga asing yang berada di negara ini secara sah mudah dikesan berbanding PATI kerana pihak berkuasa mempunyai maklumat lokasi kediaman dan tempat kerja serta butiran majikan.

“Selagi PKP masih dilaksanakan, kita tidak akan membiarkan mana-mana pihak yang tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan sah bergerak bebas.

"Sekiranya warga asing yang tidak memiliki dokumen ini dijangkiti Covid-19, bagaimana kita nak cari dan kesan mereka sedangkan pada masa itu dia sudah menyebarkan gejala berkenaan kepada orang lain seterusnya mewujudkan kluster baru pula,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau penugasan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di sekatan jalan raya di Jalan Rawang – Kuala Lumpur di sini semalam.

Semalam Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), ATM dan dibantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggempur sekitar kawasan Masjid India di sini dan menahan ratusan warga asing yang tinggal di kawasan terbabit tanpa sebarang dokumen perjalanan yang sah.

Abdul Hamid menegaskan, PATI yang ditahan akan dikumpulkan di lokasi yang ditetapkan sehingga tempoh PKP berakhir bagi memudahkan pihak berkuasa mengawal pergerakan mereka.

Artikel Berkaitan:

"Apabila tempoh PKP berakhir kelak, maka terpulanglah kepada kerajaan untuk memutuskan sama ada untuk meneruskan tindakan susulan mengikut undang-undang yang ditetapkan oleh Imigresen atau mengusir mereka kembali ke negara asal melalui proses yang telah ditetapkan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!