Malaysia, Singapura teruskan bincang projek RTS
KUALA LUMPUR - Malaysia dan Singapura akan meneruskan perbincangan dua hala mengenai Projek Sistem Transit Rapid (RTS) selepas perkara ini tergendala akibat dari wabak koronavirus (Covid-19).
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong berkata, perbincangan itu mungkin akan dilakukan secara tele video sekiranya perlu.
"Saya telah membincangkan status perjanjian dua hala ini secara terperinci dan berterusan dengan rakan sejawatan saya dari Singapura, Khaw Boon Wan. Kami telah mencapai kesepakatan bersama untuk melanjutkan perbincangan mengenai perjanjian dua hala projek RTS ini sehingga 31 Julai 2020 iaitu tiga bulan selepas tarikh yang sepatutnya dimuktamadkan sebelum ini, 30 April 2020," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Projek RTS bakal menghubungkan Bukit Chagar, Johor ke stesen Woodlands North, Singapura dengan sasaran kapasiti mencecah 10,000 penumpang sejam, namun jika projek itu dibatalkan, Malaysia perlu membayar pampasan berjumlah RM200 juta kepada Singapura.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!