Polis patah jari, lebam kepala dipukul penjenayah
LUMUT - Dua anggota polis cedera ketika bergelut dengan seorang lelaki dipercayai suspek pecah kedai di Taman Setia, Sitiawan, di sini semalam.
Seorang daripada anggota terbabit patah jari telunjuk kanan manakala, seorang lagi mengalami lebam di kepala dan kaki akibat terkena hayunan topi keledar.
Dalam kejadian jam 8.45 malam itu, anggota unit peronda polis (MPV) cuba menahan suspek yang menunggang motosikal di kawasan terbabit.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, lelaki berusia 28 tahun itu cuba melarikan diri setelah menyedari kehadiran dua anggota yang sedang membuat rondaan.
"Suspek melarikan diri dengan memecut laju motosikal hingga menyebabkan dia terbabas.
"Semasa ditahan, suspek bertindak agresif dengan memukul anggota menggunakan topi keledar menyebabkan berlakunya pergelutan namun, suspek berjaya ditahan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, suspek dan dua orang anggota polis yang cedera dalam kejadian itu telah mendapatkan rawatan di Hospital Seri Manjung.
"Suspek tidak mengalami kecederaan serius telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung untuk siasatan lanjut dan hasil ujian urin mendapati suspek positif dadah.
"Susulan itu, polis merampas sebuah motosikal, sebilah parang panjang, telefon bimbit, beberapa peket serbuk putih disyaki dadah dan peralatan untuk menghisap dadah," katanya.
Nor Omar berkata, suspek direman tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut.
"Kes disiasat di bawah seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan seksyen 39(A)(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah.
"Suspek turut melakukan kesalahan di bawah Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 kerana melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!