Permohonan PFF 2020 dibuka 1 Jun

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - Pelajar yang berkelayakan boleh memohon bantuan pembiayaan pembelajaran melalui program biasiswa kerajaan negeri, Penang Future Foundation (PFF) yang akan dibuka pada 1 Jun nanti.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, program inisiatif kerajaan negeri yang dilaksanakan sejak 2015 itu akan dibuka untuk permohonan bermula 1 hingga 22 Jun ini.

Menurutnya, pelajar yang menepati syarat dan berminat boleh mendapatkan maklumat berkala di laman sesawang PFF, www.penangfuturefoundation.my, akhbar Buletin Mutiara, Facebook atau Twitter.

"Di bawah program ini, kita menawarkan PFF Biasiswa Penang dan juga PFF Biasiswa Mutiara. Kedua-duanya boleh dipohon oleh mereka yang berminat.

"Bagaimanapun, pelajar perlu memastikan syarat kelayakan yang dikenakan untuk setiap biasiswa berkenaan.

"Kedua-dua biasiswa tersebut mempunyai syarat berlainan yang perlu dipenuhi termasuk pendapatan isi rumah dan rekod biasiswa," katanya.

Menurutnya, selain itu, PFF Biasiswa Penang menawarkan kepada pelajar yang memperoleh purata nilai gred kumulatif (CGPA) 3.67 dan ke atas selain pendapatan isi rumah tidak melebihi RM15,000 sebulan.

"Bagi PFF Biasiswa Mutiara pula, ia dibuka kepada pelajar yang mempunyai CGPA di antara 3 hingga 3.66.

Artikel Berkaitan:

"Syarat pendapatan isi rumah bagi pemohon PFF Biasiswa Mutiara mestilah tidak melebihi RM5,000 setiap bulan. Selain itu, pemohon yang berjaya akan menikmati faedah yang sesuai dengan biasiswa yang diberikan kepada mereka.

"Untuk PFF Biasiswa Penang, mereka akan menerima yuran pembelajaran sehingga RM100,000 dan elaun RM800 setiap bulan. Sementara PFF Biasiswa Mutiara pula, yuran pembelajaran sehingga RM60,000 dan elaun RM500 setiap bulan," katanya.

Kon Yeow berkata, sejak lima tahun lalu, PFF telah membiayai kira-kira 500 pelajar yang akan kembali ke negeri ini untuk bekerja dan memastikan Pulau Pinang mencapai impiannya sebagai negeri pintar, hijau dan mengutamakan keluarga.

Katanya, PFF ditubuhkan kerajaan negeri bagi membantu anak tempatan yang cemerlang mengikuti pengajian tinggi dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan, perakaunan, di institusi pengajian tinggi dalam negara.

"Bantuan pendidikan ini dibuka untuk semua rakyat Malaysia yang akan menyambung pelajaran di universiti tempatan sahaja.

"Namun, syaratnya adalah, mereka perlu berkhidmat di Pulau Pinang selama lima tahun selepas tamat pembelajaran. Mereka tidak diwajibkan untuk bekerja dengan kerajaan negeri atau agensi kerajaan sahaja. Mereka boleh bekerja di mana-mana agensi atau industri, tetapi syaratnya perlu di Pulau Pinang," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan sentiasa membuat susulan dengan setiap pelajar yang telah tamat pembelajaran bagi memastikan mereka akan kembali ke Pulau Pinang untuk berkhidmat.

Kerajaan negeri telah membelanjakan RM29.4 juta menerusi program PFF iaitu RM4.6 juta untuk 2015 (63 pelajar), RM7.6 juta untuk 2016 (129 pelajar), RM5.5 juta untuk 2017 (108 pelajar) dan RM5.6 juta (108 pelajar) untuk 2018 dan RM6.1 juta untuk tahun lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!