Covid-19: Kerajaan yakin tidak berlaku gelombang kedua seperti di Jepun
PUTRAJAYA - Tindakan kerajaan Jepun membenarkan kemasukan warga asing ke dalam negara mereka menjadi menyumbang berlakunya gelombang kedua penularan koronavirus (Covid-19) di negara itu selepas perintah berkurung ditarik semula.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan menyedari kebimbangan rakyat terhadap kemungkinan berlaku gelombang kedua penularan Covid-19 sebagaimana terjadi di negara Jepun dan Kanada, sebaik sahaja mereka menarik arahan perintah berkurung di negara masing-masing.
Bagaimanapun, Ismail Sabri yakin Malaysia tidak mengulangi keadaan itu kerana negara masih menutup pintu masuk kepada warga asing.
"Berdasarkan perbandingan dengan wilayah Hokkaido di Jepun, negara itu sebenarnya kembali membuka pintu masuk dan membiarkan kemasukan warga luar ke negara mereka kerana waktu itu adalah musim bunga sakura.
"Faktor berlakunya gelombang kedua penularan Covid-19 di negara itu kerana ia berpunca kluster kes import.
"Berbeza dengan kita, kita masih menutup pintu masuk kepada warga asing. Sehingga kini, kita tidak membenarkan mereka masuk ke mana-mana pintu sempadan negara," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media (Non-Health) selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini hari ini.
Bahkan, Ismail Sabri menegaskan setiap warganegara Malaysia yang pulang dari luar negara akan dikenakan kuarantin wajib.
Menurutnya, kerajaan bersedia dan mampu untuk menangani kebimbangan berlakunya gelombang kedua penularan Covid-19 sekiranya PKP dilonggarkan susulan pendekatan berbeza diambil kerajaan yang memfokuskan kawalan pada kawasan secara bersasar.
"Sekarang pemantauan kita berdasarkan kawasan-kawasan bersasar.
"Katakan satu kawasan itu ada Covid-19 seperti arahan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Sungai Lui, Kajang, kita hanya menumpukan kawalan pergerakan di kawasan itu sahaja memandangkan kawasan lain dianggap zon hijau.
"Kita sangat sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan gelombang baharu penularan Covid-19 kerana kita sudah memastikan faktor kemasukan rakyat asing yang mungkin membawa kluster import adalah tidak dibenarkan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!