Nafi video sesak dirakam hari ini
MELAKA TENGAH - Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) menafikan video tular memaparkan orang ramai bersesak dengan tidak mematuhi jarak sosial dirakam di Pasar Borong Batu Berendam, di sini, berlaku pada hari ini.
Yang Dipertua (YDP) MPHTJ, Shadan Othman sebaliknya berkata, beliau yakin video berdurasi 24 saat itu dirakam sebelum ini dan pihaknya juga pernah membuat teguran mengenai kurangnya perhatian pihak pengurusan pasar borong berkenaan mengenai Prosedur Operasi Standard (SOP) yang digariskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Menurutnya, bermula teguran yang dibuat pada 11 April lalu, pihaknya telah meletakkan pegawai secara harian di lokasi terbabit bagi tujuan pemantauan dan memastikan keadaan sesak yang dilaporkan sebelum ini tidak berlaku lagi.
"Saya nafikan video ini pada 2 Mei iaitu pada hari ini dan yakin ia dirakam ketika awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Tambahnya, pemantauan yang dilakukan bukan sahaja mewajibkan orang ramai mahupun peniaga mematuhi penjarakkan sosial malah pihak pengurusan diwajibkan membuat saringan suhu badan ke atas setiap individu yang masuk ke pasar selain menyediakan cecair pembasmi kuman.
Beberapa jam lalu, sebuah video tular selepas dimuat naik media sosial yang menggambarkan keadaan orang ramai bersesak-sesak membeli barangan basah di pasar borong tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!