Kakitangan kesihatan luang masa baca al-Quran
KUALA TERENGGANU - Penyediaan sudut bacaan serta sumbangan naskah kitab suci al-Quran oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) menerusi Program Wakaf al-Quran Mu'jam baru-baru ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh kakitangan kesihatan di negeri ini.
Ketua Penolong Pengarah Kanan (Perkembangan Kesihatan Awam) Terengganu, Dr Hasnan Arwit@Hassan berkata, kakitangan jabatan itu menggunakan masa terluang terutama waktu rehat untuk membaca al- Quran.
Katanya, ia bukan sahaja membantu dalam menggalakkan mereka untuk membaca al-Quran malah sudut al-Quran yang disediakan menarik minat seterusnya mendekatkan lagi al-Quran di hati mereka.
"Kita dapati kakitangan kesihatan memanfaatkan ruang masa terutama ketika waktu rehat untuk membaca al-Quran yang disumbangkan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) menerusi Program Wakaf al-Quran Mu'jam baru-baru ini.
"Melalui sumbangan ini, kakitangan dapat menggunakan ruang masa terutama waktu rehat dengan membaca al-Quran.
"Ditambah pula dengan adanya sudut al-Quran, ini dapat menggalakkan lagi kakitangan membaca al-Quran dan membuat al-Quran makin dekat di hati mereka," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Terdahulu, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) mengagihkan 1,200 naskhah al-Quran hasil sumbangan pelbagai pihak kepada Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT).
Program Wakaf al-Quran Mu'jam hasil kerjasama WUIF dengan rakan sinergi iaitu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), TV Al Hijrah, Majlis Dakwah Negara, Sinar Harian, Ideaktiv dan Rumah Ngaji.
Menerusi program itu, sebanyak 1,200 naskhah al-Quran terjemahan mu'jam telah diagihkan melibatkan 300 naskah di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Hospital Kemaman (160), Hospital Hulu Terengganu (160) dan 580 buah lagi diagihkan untuk JKNT, klinik kesihatan daerah dan pusat kuarantin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!