50 lagi wanita hamil warga Malaysia dibawa pulang dari Singapura

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

SINGAPURA - Seramai 66 rakyat Malaysia termasuk 50 wanita hamil dibawa pulang menaiki bas dari Singapura melalui Tambak Johor, hari ini, dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Malaysia dan langkah Pemutus Litar di Singapura.

Kedua-dua kawalan itu dilaksanakan bagi mencegah penularan wabak koronavirus (Covid-19) di negara masing-masing, menyaksikan sekatan rentas sempadan diadakan walau hanya dipisahkan dengan jarak kira-kira 1 kilometer (km).

Tiada pengangkutan awam merentasi laluan darat Tambak Johor dan Linkedua semasa dua perintah kawalan pergerakan ini berkuat kuasa dan bagi rakyat Malaysia yang tidak mempunyai kenderaan sendiri, pilihan yang ada, hanyalah berjalan kaki, jika ingin pulang ke tanah air.

“Maka ia sama sekali tidak mungkin boleh dilakukan oleh wanita hamil, warga emas dan kanak-kanak. Kami sebagai rakyat Malaysia di sini terpanggil untuk membantu usaha baik ini,” kata Setiausaha Agung St John Ambulans Malaysia, Hoo We Tak kepada Bernama ketika dihubungi.

We Tak berkata, ini merupakan penglibatan kali kedua beliau dan rakan-rakan untuk membantu penghantaran pulang kali ketiga rakyat Malaysia, selepas operasi pertama dan kedua berlaku bulan lalu.

“Kali ini ia lebih tersusun. Kami dapat membekalkan mereka minuman, biskut dan roti. Dibimbangi apabila tiba di Johor, proses kuarantin akan mengambil sedikit masa. Malah kami dapat menyediakan kerusi untuk mereka ketika menunggu giliran menaiki bas tadi,” kata We Tak.

Hasil koordinasi pertubuhan St John Ambulans di Singapura dan Malaysia, We Tak berkata, tujuh anggota dan sebuah ambulans dari St John Singapore Responder Unit bertugas menawarkan bantuan serta mengiringi kumpulan itu.

Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stulang, Andrew Chen berurusan dengan syarikat bas Causeway Link untuk menyediakan sebuah bas bagi membawa semua wanita hamil terbabit.

Artikel Berkaitan:

Dengan bantuan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura, kira-kira 150 wanita hamil sudah dibawa pulang ke Malaysia, setakat ini.

“Untuk mematuhi amalan jarakan sosial, tiga perjalanan diatur hari ini dengan 22 penumpang bagi satu-satu masa. Perjalanan pertama bermula pada 10.00 pagi, kedua 11.30 pagi dan terakhir kira-kira 1.00 petang tadi. Mereka menaiki bas di Kranji MRT,” katanya.- Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: 70 wanita hamil warga Malaysia dibawa pulang dari Singapura

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!