Mabuk ubi gadong musim tengkujuh

Ahmad Said (kanan) mengakui ubi gadong banyak meninggalkan nostalgia ketika zaman kanak-kanaknya.
Ahmad Said (kanan) mengakui ubi gadong banyak meninggalkan nostalgia ketika zaman kanak-kanaknya.
A
A
A

“SAYA terpaksa berpimpin tangan dengan kawan semasa nak balik dari sekolah kerana pening penangan mabuk ubi gadong,“ imbau bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.

Beliau yang ditemui Sinar Ahad di Pejabat UMNO Terengganu di Kuala Terengganu baru-baru ini berkata, ubi gadong banyak meninggalkan nostalgia buatnya kerana kesukaran hidup semasa kecil.

Menurutnya, ubi gadong (atau nama saintifiknya dioscorea daemona) boleh membuatkan seseorang itu mabuk atau pening jika cara pemprosesannya salah atau dilakukan orang yang tidak mahir.

“Kebiasaannya orang kampung dahulu akan masuk hutan setiap kali bulan November dan Disember untuk mencari ubi gadong sebagai sumber makanan sebab ketika itu musim tengkujuh. Memang cara prosesnya rumit dan renyah.

“Sebab itu kalau salah cara (proses), boleh mabuk dibuatnya. Biasanya kita akan minum air kelapa dan tidur sekejap bagi menghilangkan mabuk. Tapi lepas itu, makan lagi sebab memang sedap rasanya bila dimakan bersama kelapa parut atau ikan jeruk,” katanya.

Beliau dilahirkan di Teluk Kalong, Kemaman pada 15 Februari 1957 dalam keluarga Tok Nyandat, iaitu gelaran tempatan bagi orang yang bekerja menghasilkan nira kelapa untuk menyara keluarga.

Ahmad mengakui kehidupannya dahulu agak sukar menyebabkan beliau lebih berdikari dan tidak terlalu berkira apatah lagi berkaitan makan minumnya.

Ayahnya, Said Mohd hanya bekerja sebagai penyandat nira kelapa dan adakalanya keluar ke laut, manakala ibunya, Wook Ali ialah seorang pembuat kuih.

Artikel Berkaitan:

Disebabkan itu, katanya, sebagai anak bongsu daripada lapan beradik dia tidak betah berpeluk tubuh dan sering kali masuk hutan mencari ubi gadong bersama rakan-rakannya bagi membantu keluarga.

Rumit

Menceritakan tentang cara memproses ubi gadong, Ahmad berkata, ubi gadong sedikit berbau masam dan bergetah.

Disebabkan itu, masyarakat dahulu mengambil masa hampir seminggu merendamnya dalam air mengalir seperti di sungai bagi mengeluarkan bau dan getahnya.

Ubi itu biasanya dipotong halus dan direbus, kemudian dimakan bersama kelapa parut atau ikan jeruk.

“Antara petua orang-orang lama, tidak boleh ambil ubi daripada pokok gadong muda yang baru keluar pucuk untuk elakkan mabuk, hanya ambil yang sudah berdaun tua.

“Selain itu, walaupun direndam dalam air dalam tempoh lama tapi getahnya tidak keluar habis, ia juga boleh membuatkan seseorang itu mabuk bila makan ubi tersebut,” katanya.

Kajian

Ditanya mengapa ubi gadong menjadi pilihan penduduk kampung walaupun ia agak rumit untuk dimasak, Ahmad berkata, mereka tiada pilihan, selain pokok gadong yang mudah diperoleh.

Kesukaran hidup dan nostalgia ubi gadong semasa zaman kanak-kanaknya juga telah memberikan ilham kepada beliau untuk membuat kajian mendalam tentang ubi gadong.

Semasa memegang jawatan sebagai Menteri Besar, Ahmad melalui kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM2.2 juta bagi membiayai kajian mengenai penghasilan produk berasaskan ubi gadong yang dilaksanakan Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) Terengganu, yang kini dikenali sebagai Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Peruntukan bagi tempoh dua tahun itu melibatkan tiga bidang iaitu pengeluaran makanan, perubatan dan bahan untuk kegunaan tumbuhan seperti racun, di mana ketiga-tiga bidang ini berasaskan ubi gadong.

“Sebenarnya banyak kuih yang boleh diperbuat daripada ubi gadong seperti kek, bingka, onde-onde, puteri mandi, kerepek, tepung gomak, bubur dan mufin yang dihasilkan oleh UniSZA ketika itu.

“Di samping makanan, ubi ini juga boleh dijadikan ubat. Hasil kajian juga mendapati ia berpotensi menghasilkan bahan ubatan pencegah kehamilan, penyakit kencing manis dan penambah hormon dalam badan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, beliau mengakui agak terkilan kerana harapan besarnya untuk mengkomersialkan ubi gadong masih belum tercapai.

Malah, beliau turut meluahkan kesanggupan untuk membeli mesin yang dihasilkan sebelum ini jika tiada mana-mana pihak yang ingin meneruskannya.

“Ia bukan sekadar nostalgia, tapi saya tahu ia boleh pergi jauh jika kita bersungguh-sungguh dan komited dalam merealisasikannya.

“Paling tidak, ia boleh diproses untuk dijadikan tepung dan lebih banyak produk makanan yang dapat dihasilkan” katanya.

  • Nama: Datuk Seri Ahmad Said
  • Umur: 63 tahun
  • Asal: Teluk Kalung, Chukai, Kemaman
  • Jawatan: Pengerusi UMNO Terengganu dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kijal
  • Pengalaman:Menteri Besar Terengganu (2008-2014)
  • ADUN Kijal (1990-1999) (2004-kini)
  • Yang Dipertua Majlis Daerah Kemaman (1990)
  • Penolong Pegawai Daerah Setiu (1988)
  • Pengetua Pusat Pupuk Semangat Negeri Terengganu (1986)
  • Pegawai Pentadbir Tanah II Daerah Kemaman (1985)
  • Penolong Pegawai Daerah Kemaman (1982)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!