Bank buli peminjam dalam isu moratorium?

BNM kesal dengan kekeliruan dan kebimbangan yang timbul berikutan pengumuman dibuat semalam.
BNM kesal dengan kekeliruan dan kebimbangan yang timbul berikutan pengumuman dibuat semalam.
A
A
A

SEBAGAI seorang ‘hamba bank’ dalam tempoh beberapa tahun, ada yang pertama kalinya diperdengarkan dengan perkataan ‘moratorium‘ yang dilantunkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusannya pada 25 Mac lalu.

Perkataan moratorium itu bermaksud penangguhan, merujuk kepada penangguhan sebarang perjanjian atau undang-undang dan dalam situasi tersebut ia melibatkan penangguhan menjadi hamba bank dalam tempoh enam bulan.

Adakah dalam tempoh itu anda boleh bersenang-lenang? Mungkin.

Moratorium yang diumumkan Perdana Menteri sepatutnya bermula pada 1 April 2020, dengan bank-bank tempatan akan menawarkan moratorium atau penangguhan bayaran balik sehingga enam bulan kepada peminjam-peminjam individu dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam tempoh negara berdepan dengan ancaman pandemik Covid-19.

Maka selepas pengumuman itu, maka berbondong-bondonglah hamba bank bersorak riang melalui semua platform media sosial selepas diberikan ‘cuti khas’ sedangkan sebelumnya mereka terikat dengan kontrak pembayaran sewa beli yang hanya cukup nafas untuk hidup.

Malah ada yang terus membuat kiraan kononnya dalam tempoh enam bulan dapat menyimpan RM6,000 dengan mengambil kira bayaran pinjaman kereta sebanyak RM1,000 sebulan. Besar jumlah itu bagi anda yang sering putus duit sementara menunggu gaji hujung bulan.

Bagaimanapun, sebulan selepas keterujaan itu, hamba bank kembali bersorak tetapi bukan dengan nada gembira sebaliknya kecewa dan marah kerana mengandaikan Bank Negara Malaysia (BNM) membuat pusingan U.

Apa yang diperdebatkan penghutang-penghutang terhadap pemiutang ini ialah BNM sengaja ‘menghilangkan’ caj kadar faedah terakru (yang diambil kira) kepada pinjaman yang diberikan penangguhan bayaran balik.

Artikel Berkaitan:

Seorang individu yang rapat dengan bank berkongsi dengan Sinar Ahad bahawa BNM tidak melakukan sebarang corak pusingan U sebaliknya orang ramai kurang memahami literasi kewangan.

“Mungkin ada yang pertama kali mendengar perkataan faedah terakru. Jadi bila dengar terma faedah terakru atau moratorium, mereka jadi panik pasal risau akan naik bayaran bulanan itu. Yang mereka nak adalah bayaran balik tidak bertambah.

“Pihak kerajaan pula tidak cakna dari segi corak komunikasi. Jadi dua-dua ada kekurangan,” terangnya.

Katanya, beliau percaya ketika ini setiap bank sedang menyusun semula terma baharu supaya pelanggan tidak terbeban dengan bayaran pulangan balik selepas hutang mencapai tempoh matang.

“Contohnya, untuk sewa beli kereta bagi produk pembiayaan Islam berkadar tetap, untuk mengelakkan bayaran bulanan yang lebih, buat akad baharu atau kontrak baharu untuk melanjutkan tempoh bayaran enam bulan lagi dengan kadar yang sama seperti sebelumnya.

“Jadi bank kena menghubungi pelanggan untuk membuat akad baharu,” katanya yang menjelaskan bahawa produk pembiayaan Islam memerlukan akad sebagai syarat wajib.

Bagaimanapun, mengambil kira situasi sekarang iaitu ancaman Covid-19, produk pembiayaan Islam yang memerlukan akad sebagai syarat wajib boleh dikatakan sebagai langkah yang ketinggalan.

Automatik

Ketika negara berdepan dengan lockdown Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu, pelbagai normal kehidupan Islam turut berubah sehingga ke hari ini.

Sebagai contoh, umat Islam tidak dibenarkan mengimarahkan masjid dengan bersolat berjemaah sama ada solat lima waktu, solat Jumaat, tarawih dan kemungkinan besar tiada langsung solat sunat Aidilfitri.

Semuanya perlu dilakukan sendiri di rumah. Ini normal baharu seorang Muslim semasa wabak Covid-19.

Begitu juga dengan pembayaran zakat fitrah apabila semuanya boleh dibuat di hujung jari tanpa adanya amil di hadapan yang membacakan doa selepas selesai berzakat.

Bahkan pada 18 April lalu, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan melaksanakan majlis akad nikah dalam talian pertama di Malaysia melalui sidang video yang membabitkan pasangan Muhammad Don Haadi Don Putra, 29, dan Nahdatul Aishah Mohd Sharif, 29.

Jadi timbul persoalan, mengapa untuk melaksanakan lanjutan tempoh enam bulan bayaran dengan kadar yang sama pembayarannya, bank perlu menghubungi pelanggan dan membuat akad baharu sedangkan ia boleh sahaja dibuat secara automatik?

Dalam isu moratorium ini, bank pasti mahu mengutip hutang tanpa putus manakala hamba bank, tiada siapa yang mahu membuat bayaran pada kadar lebih tinggi selepas diberikan ‘cuti khas’ selama enam bulan.

Justeru inilah masanya perbankan Islam tampil berbeza daripada amalan konvensional dengan menzahirkan nilai-nilai ihsan ketika umat yang juga pelanggan mereka ditimpa musibah Covid-19.

Bagi Pakar Pengurusan Strategik Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Haim Hilman Abdullah, keputusan institusi kewangan membatalkan kemudahan moratorium secara automatik di samping akan mengenakan faedah kepada pelanggan yang memilih melakukan moratorium benar-benar mengecewakan rakyat Malaysia.

“Inilah sisi buruk institusi kewangan negara. Walaupun sebahagian daripada mereka berstatus syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang sepatutnya menjadi mata, telinga dan tangan kerajaan dalam membantu masyarakat, sebaliknya mereka memilih untuk menindas dengan pelbagai alasan,” katanya melalui kenyataan kepada Sinar Ahad semalam.

Haim Hilman berkata, ketika seluruh dunia berdepan dengan krisis Covid-19 yang menyaksikan ramai pekerja di negara ini dikhuatiri kehilangan pekerjaan, situasi itu langsung tidak memberi kesan kepada institusi kewangan di negara ini.

“Di sinilah kesilapan terbesar institusi kewangan Malaysia yang tidak sensitif dengan permasalahan rakyat. Adalah menjadi harapan rakyat untuk melihat mereka menunjukkan sisi kemanusiaan mereka. Jika tidak, rakyat wajar mengingati jenama-jenama mereka ini sebagai penindas paling memalukan dalam sejarah pemulihan ekonomi negara.

“Untuk itu, sudah menjadi tanggungjawab institusi kewangan ini untuk mengekalkan keputusan asal moratorium iaitu dibuat secara automatik dan tiada kadar faedah terakru untuk tempoh moratorium itu,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!