Polis maut dirempuh pemandu mabuk ketika SJR
SEMENYIH - Seorang anggota polis yang sedang menjalankan tugas sekatan jalan raya (SJR) Op Covid-19 di Kilometer 2.8 Lebuhraya Lekas arah Plaza Tol Kajang Selatan di sini maut selepas dirempuh pacuan empat roda, awal pagi tadi.
Mangsa, Koperal Safwan Mohd Ismail yang berusia 31 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, kejadian kira-kira jam 2 pagi itu dipercayai berlaku ketika kenderaan Toyota Hilux yang dipandu seorang lelaki hilang kawalan sebelum terbabas melanggar SJR hingga merempuh mangsa.
"Kemalangan menyebabkan mangsa maut akibat kecederaan parah dan siasatan awal punca kemalangan dipercayai akibat pemandu terbabit yang memandu di bawah pengaruh alkohol.
"Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Penguasa Kanan Bomba I Hafisham Mohd Noor berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kajang bergegas ke lokasi kejadian.
"Kemalangan menyebabkan pemandu Toyota Hilux berusia lingkungan 40-an terbabit mengalami kecederaan di kepala," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!