'Sampai mati saya kenang jasa rakyat Malaysia'

Nobi bersama isteri dan dua anaknya.
Nobi bersama isteri dan dua anaknya.
A
A
A

PUCHONG - "Saya dilayan dengan baik di negara ini, sampai mati saya akan kenang jasa rakyat Malaysia," luah seorang etnik Rohingya, Nobi Hussein Ali Ahmad, 35, yang menetap di Kampung Kenanga di sini.

Menurutnya, apa yang dinikmatinya sepanjang hampir 11 tahun berada di negara ini tidak akan sesekali pernah dinikmati di negara asalnya.

"Saya di sini dilayan dengan baik sekali, mudah cari makan, nak buat kerja tak ada orang kacau asalkan kerja yang dilakukan halal.

"Bukan itu saja, di sini juga aman dan tak ada kekacauan. Rakyat Malaysia juga baik, tak pernah sekali kacau atau buat apa-apa kepada saya dan keluarga," katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, walaupun dia warga asing, penduduk kampung terutamanya jiran-jiran banyak membantu lebih-lebih lagi keadaannya kurang upaya selepas terlibat kemalangan pada 2018.

"Dahulu saya boleh gerak dengan sempurna, tapi selepas kemalangan pada 2018, kaki sebelah kanan saya terpaksa dipotong. Jadi saya terpaksa berhenti kerja dan buat kerja sendiri.

"Jiran saya Pak Nasir amat baik dengan saya sekeluarga, dia banyak bantu, begitu juga dengan orang kampung khususnya orang masjid, banyak tolong kami. Rakyat Malaysia memang baik," katanya.

Nobi berkata, dia bersama beberapa rakannya masuk ke negara ini melalui ejen pada tahun 2009.

Artikel Berkaitan:

"Mulanya saya datang seorang diri, lepas beberapa tahun baru isteri pula datang. Nak datang bukan senang, saya terpaksa membayar sejumlah wang kepada ejen.

"Jadi masa sampai di negara ini, saya memang niat nak kerja betul-betul. Dulu masa di Myanmar susah nak kerja, jadi bila ada di Malaysia, saya nak kerja betul-betul kumpul duit bagi keluarga senang," katanya.

Katanya, dia cukup bersyukur berada di negara ini, namun kecewa apabila ada etniknya menimbulkan masalah.

"Saya syukur sangat berada di sini, jadi saya nak minta kepada mana-mana pihak yang mengaku mewakili Rohingya janganlah buat masalah, kita hidup di negara orang, buatlah cara berada di negara orang.

"Tak kiralah apa pertubuhan sekali pun yang kononnya mewakili Rohingya, janganlah keluarkan kenyataan yang singgung hati warga tempatan, kami di sini bersyukur hidup, ada kerja dan ada makan yang cukup, janganlah rosakkan perkara tersebut," katanya.

Dalam pada itu, Nazir Masjid Nurul Huda, Puchong, Nasiruddin Mohamed berkata, terdapat lebih daripada 10 keluarga Rohingya yang tinggal di sekitar kawasan Kampung Kenangan di sini.

"Alhamdulillah, setakat ini belum ada sebarang masalah yang ditimbulkan warga Myanmar ini. Bagi saya, dalam isu yang timbul mengenai Rohingya ini ia lebih kepada individu.

"Jadi saya harap kalau ada individu yang bermasalah, cuba timbulkan sesuatu yang boleh beri kesan kepada masyarakat, terus hantar yang bermasalah itu pulang ke Myanmar, itu saja," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!