PKPB: 14 Taman Eko-Rimba di Perak terus ditutup

Semua jenis aktiviti rekreasi, riadah, perkelahan dan mandi-manda serta senaman yang melibatkan kehadiran orang ramai adalah dilarang dan tidak dibenarkan di 14 Taman Eko-Rimba milik Jabatan Perhutanan Perak. - Gambar hiasan
Semua jenis aktiviti rekreasi, riadah, perkelahan dan mandi-manda serta senaman yang melibatkan kehadiran orang ramai adalah dilarang dan tidak dibenarkan di 14 Taman Eko-Rimba milik Jabatan Perhutanan Perak. - Gambar hiasan
A
A
A

IPOH - Semua 14 Taman Eko-Rimba milik Jabatan Perhutanan Perak akan terus ditutup sehingga ke satu tarikh yang akan diumumkan kemudian susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu bagi mengekang penularan koronavirus (Covid-19).

Antara kawasan itu adalah Taman Eko-Rimba Taman Lata Kekabu, Lenggong; Taman Eko-Rimba Pulau Tali Kail, Gerik; Taman Eko-Rimba Kledang Saiong, Meru, Ipoh; Taman Eko-Rimba Lata Kinjang, Tapah dan Pusat Eko-Pelajaran Hutan Paya Laut Matang, Kuala Sepetang, Taiping.

Pengarah Perhutanan Perak, Datuk Mohamed Zin Yusop berkata, turut ditutup sehingga satu tempoh adalah Bukit Kledang di Menglembu dan Pusat Perkelahan Ulu Chepor, Chemor kerana kawasan tersebut masih berstatus Hutan Simpanan Kekal walaupun pada awalnya dibangunkan oleh orang awam.

Menurutnya, walaupun sebahagian sektor ekonomi dan sosial termasuk pengurusan perhutanan akan mula beroperasi esok selari dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) namun aktiviti ekopelancongan hutan tidak dibenarkan.

"Semua jenis aktiviti rekreasi, riadah, perkelahan dan mandi-manda serta senaman yang melibatkan kehadiran orang ramai adalah dilarang dan tidak dibenarkan.

"Larangan ini juga merangkumi aktiviti pendakian, rekreasi sukan basikal lasak dan permotoran di semua laluan pendakian yang terletak di Hutan Simpanan Kekal Negeri Perak serta aktiviti senaman dan joging," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, pihak yang ingkar boleh dikenakan tindakan di bawah Enakmen Akta Perhutanan Negara 1984 (Pemakaian) 1985 atau di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, Akta Polis 1967 dan Peraturan 7 serta Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!