Arwah sempat kongsi detik tahun ke-11 berkhidmat
IPOH - '1/5/2020, 11 tahun khidmat'. Itu perkongsian terakhir Allahyarham Koperal Safwan Muhammad Ismail, anggota polis yang meninggal dunia selepas dirempuh sebuah kenderaan ketika bertugas menjaga kawalan sekatan jalan raya di Kilometer 2.8 Lebuhraya Lekas awal pagi tadi.
Ayat berkenaan dikongsi Safwan, 31, dalam WhatsApp keluarganya dua hari lalu bersama sekeping gambar beliau yang memakai pakaian seragam polis berwarna putih.
Kakak Allahyarham, Suraya, 32, berkata, gambar yang dikongsi itu adalah gambar lama Allahyarham bersama tiga rakannya sewaktu tamat latihan asas polis.
"Arwah kongsikan gambar untuk beritahu bahawa Jumaat lepas adalah tahun ke-11 dia berkhidmat bersama pasukan polis.
"Kami ucap tahniah dan selamat kepadanya, tak sangka itulah gambar terakhir yang arwah kongsikan bersama kami," katanya ketika ditemui di kediaman keluarga di Taman Jaya Delima, Tanjung Rambutan di sini hari ini.
Suraya yang juga juga anggota polis bertugas di Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 1, Ulu Kinta berkata, Allahyarham memang gemar berkongsi gambar-gambar terutama ketika bertugas.
"Memang selalu begitulah, ada saja gambar selfie yang dia hantar tapi gambar terakhir arwah kongsikan ini benar-benar meninggalkan kesan dan kenangan kepada kami," katanya.
Beliau berkata, keluarganya dimaklumkan kejadian itu menerusi panggilan telefon oleh seorang pegawai polis kira-kira jam 3.15 pagi.
ARTIKEL BERKAITAN: Polis maut dirempuh pemandu mabuk ketika SJR
Katanya, kali terakhir dia bertemu adiknya itu pada 1 Ramadan lalu, ketika itu Allahyarham mendapat kebenaran pulang untuk bertemu ayah mereka yang dimasukkan ke hospital akibat masalah jantung.
"Kami minta dia balik sebab bimbang dengan kesihatan ayah tetapi dia cuma dapat balik sekejap saja, keesokannya selepas bersahur dia melawat ayah di hospital dan terus balik ke Kajang kerana perlu bertugas," katanya.
Dalam pada itu, ayah Allahyarham, Muhammad Ismail Othman, 60, reda dengan pemergian anak kedua daripada sembilan beradik itu, namun dalam masa sama meminta orang ramai berhenti menyebar gambar kemalangan berkenaan bagi menjaga sensitiviti keluarga.
"Ada juga mereka tunjuk tetapi saya tak tergamak nak tengok, saya minta sudah-sudahlah viralkan gambar itu, cukuplah orang-orang tertentu sahaja yang tahu," katanya.
Beliau yang juga bekas anggota polis Komando 69 menyifatkan Allahyarham sebagai anak yang baik dan sangat komited terhadap tugas.
"Dalam dia sibuk bertugas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, dia tetap pulang jumpa saya, kami sempat berbual sekejap di hospital dan dia sempat minta maaf kerana perlu balik awal untuk kerja," katanya.
Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bakar Bata, Tanjung Rambutan selewat-lewatnya sebelum waktu Asar hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi, Safwan yang sedang bertugas di sekatan jalan raya Op Covid-19 berhampiran Plaza Tol Kajang Selatan, Lekas maut selepas dirempuh sebuah Toyota Hilux disyaki dipandu pemandu mabuk.
Beliau yang juga anggota di Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!