Kerajaan perlu segera tangani nasib pekerja pasca Covid-19

Mahfuz Omar
Mahfuz Omar
A
A
A

ALOR SETAR - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional digesa memberi tumpuan menghadapi cabaran selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membabitkan nasib pekerja di negara ini tanpa banyak berpolitik.

Bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, kerajaan perlu segera menubuhkan Jawatankuasa Bebas Kabinet Mengenai Masa Depan Pekerja Malaysia Pasca Covid-19 yang dijangka memberikan kesan dan impak jangka panjang kepada ekonomi dan sumber tenaga pekerja di negara ini.

Menurutnya, kajian bulan April oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) ke atas 170,000 pekerja mendapati hampir 47 peratus yang bekerja sendiri telah hilang pendapatan sementara 37.5 peratus mendapati pendapatan mereka berkurangan sebanyak 90 peratus.

"Kabinet perlu segerakan penubuhan jawatankuasa ini dan melantik wakil-wakil majikan, Kesatuan Pekerja serta pakar ekonomi, sumber manusia dan juga ahli-ahli Yang Berhormat dari kedua-dua pihak untuk menganggotai jawatankuasa ini.

"Tugas utama Jawatankuasa Bertindak ini adalah untuk mengenal pasti sektor yang terjejas teruk yang mengakibatkan pekerja Malaysia kehilangan pekerjaan. Data yang diperoleh ini penting untuk memastikan pekerja-pekerja ini di berikan pekerjaan dalam bidang yang kurang terkesan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mahfuz berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini meluluskan program #Malaysia@Work yang menganggarkan seramai 350,000 orang akan mendapat pekerjaan dalam jangka masa lima tahun.

Menurutnya, beliau berpendapat kerajaan sekarang perlu melaksanakan segera program ini serta menambah baik dan memperuntukkan belanjawan tambahan agar jumlah itu dilipat gandakan menjadi satu juta pekerja dalam lima tahun.

"Perkara Ini boleh dilaksanakan dengan memastikan keutamaan perlu diberikan kepada pekerja tempatan untuk bersedia mengambil alih pekerjaan itu dari pekerja asing di negara ini.

Artikel Berkaitan:

"Jawatankuasa khas Kabinet perlu bertegas memastikan hanya pekerja asing yang sah sahaja boleh terus bekerja sementara yang tidak sah perlu dihantar pulang. Sebarang pemberhentian pekerja juga mesti mendahulukan pekerja asing," katanya.

Mahfuz berkata, beliau menjangkakan akan ada kekosongan antara 1.5 juta hingga dua juta kerja yang boleh diisi dengan segera oleh pekerja tempatan.

"Dengan menambahkan lagi insentif sedia ada kepada pekerja dan majikan dalam program #Malaysia@work, ramai pekerja yang terkesan dengan wabak pandemik Covid-19 akan bersedia untuk mengisi kekosongan yang ada ini," katanya.

Katanya, kira-kira RM1.5 bilion hingga RM2 bilion sebulan wang dapat diselamatkan dari mengalir keluar oleh pekerja asing jika peluang pekerjaan yang ada diisi oleh pekerja tempatan.

"Negara akan selamat antara RM18 bilion hingga RM24 bilion setahun sekaligus merancakkan perbelanjaan domestik, memberi kesan pada sektor ekonomi dan yang lebih utama hampir semua rakyat Malaysia yang bekerja akan gigih mencari rezeki di negara ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!