PKPB: 9 lokasi sekatan jalan raya dibuka di PJ
PETALING JAYA - Sembilan laluan lokasi sekatan jalan raya di sekitar daerah ini dibuka semula bagi mengelak kesesakan lalu lintas dan mengatur gerak petugas keselamatan susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai esok.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, lokasi sekatan jalan raya terbabit adalah di Tol NPE PJS 2, Tol Subang, Tol Sungai Buloh, Tol Kota Damansara, Tol Damansara dan Kilometer 34.1 Lebuhraya Persekutuan (arah Kuala Lumpur - Klang).
"Selain itu, Persiaran Surian, Jalan Royal Chulan (menghala masuk) dan Jalan Royal Chulan (menghala keluar), manakala satu sekatan jalan raya yang baharu akan dibuka di Jalan Klang Lama (berhadapan Wisma Ann Joo).
"Tiga lokasi sekatan jalan raya yang masih beroperasi adalah di Jalan PJS 5/45, Jalan Persiaran Mohagani, Jalan Persiaran Jati (Seksyen 8) dan Jalan Persiaran Sungai Buloh," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: Gombak, Petaling kembali menjadi zon merah
Menurutnya, pengguna jalan raya dinasihatkan untuk mengguna laluan alternatif iaitu Jalan Persiaran Kenanga - Tol Kota Damansara, Jalan Persisiran Surian - Palm Spring Kota Damansara dan Jalan Persiaran Tropicana - Casa Tropicana.
"Perubahan dan penutupan sekatan jalan raya bertujuan mengatur gerak semula petugas keselamatan dengan penugasan mobile di kawasan tumpuan ramai seperti pasar raya, pasar, pusat komersil dan tempat riadah.
Katanya, pihaknya juga akan menggerakkan sumber manusia yang ada ke penugasan PKPB seperti tugasan rondaan, Op Cantas serta penugasan pencegahan jenayah.
"Orang ramai dinasihatkan terus mematuhi PKPB fasa empat agar jaringan wabak koronavirus (Covid-19) dapat diputuskan.
"Polis mengucapkan terima kasih kepada pengguna jalan raya khususnya masyarakat Petaling Jaya yang sabar semenjak PKP fasa satu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!