Kelantan teliti garis panduan PKPB Khamis ini
KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan akan memperhalusi garis panduan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang diumumkan kerajaan Persekutuan sebelum melaksanakannya di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, ia bertujuan untuk menyesuaikan keperluan tersebut dengan rakyat Kelantan.
Menurutnya, perkara tersebut akan dibincangkan secara lebih mendalam pada mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan (Khas) Negeri Kelantan yang akan diadakan Khamis ini.
“Sehingga keputusan diambil di dalam jawatankuasa tersebut, semua ketetapan yang dibuat sebelum ini adalah masih terpakai dan perlu dipatuhi oleh semua pihak.
“Kemaslahatan rakyat adalah merupakan keutamaan Kerajaan Negeri Kelantan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan Kelantan menyokong pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang akan berkuatkuasa esok.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas sempena Hari Pekerja mengumumkan kerajaan akan melaksanakan PKPB mulai 4 Mei ini bagi membolehkan sebahagian sektor ekonomi dan sosial dibuka semula.
Dalam pada itu, Ahmad menzahirkan kesyukuran kerana pada masa ini, Kelantan masih kekal pada zon hijau dan sudah tiada lagi rakyat yang menerima rawatan di hospital akibat jangkitan virus koronavirus (Covid-19)
Bagaimanapun katanya, Kerajaan Kelantan perlu berhati-hati supaya keadaan ini dikekalkan bagi menjamin kemaslahatan rakyat.
Kelantan mencatatkan 155 kes Covid-19 dengan tiga kematian sehingga semalam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!