Pasar Selayang hanya dibuka 16 Mei
KUALA LUMPUR - Pasar Harian Selayang yang sepatutnya dibuka kembali Selasa ini akan ditunda kepada 16 Mei depan.
Menerusi satu notis pemberitahuan, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, pasar berkenaan akan beroperasi setiap hari dari jam 6 pagi hingga 2 petang kecuali Isnin dan Jumaat bagi memberi laluan kerja pembersihan dan disinfeksi koronavirus (Covid-19).
Nor Hisham berkata, semua peniaga dan pekerja di pasar itu perlu melalui pintu utama bagi menjalani saringan suhu sebelum memasuki premis berkenaan.
"Peniaga juga perlu menyediakan pensanitasi tangan di hadapan gerai dan mematuhi penjarakan sosial antara satu sama lain.
"Pembeli hanya dibenarkan berada dalam pasar selama 30 minit dan kenderaan persendirian tidak dibenarkan parkir di kawasan Pasar Harian Selayang," katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, peniaga dan pekerja juga mestilah bebas Covid-19.
“Keputusan pembukaan semula adalah tertakluk kepada arahan semasa kerajaan dan keputusan ini bagi memastikan keselamatan dan kesihatan peniaga, pekerja serta pengunjung Pasar Harian Selayang,” katanya.
Pasar Harian Selayang ditutup sejak 21 April lalu sehari selepas Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pusat Bandar Utara dan sekitar Pasar Borong KL dilaksanakan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!