MyTrace mampu kesan jangkitan Covid-19
PUTRAJAYA - Aplikasi MyTrace yang dibangunkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mampu membantu kerajaan mengesan individu yang berada berdekatan dengan mereka yang dijangkiti koronavirus (Covid-19).
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, MyTrace adalah pelengkap kepada aplikasi MySejahtera yang dilancarkan sebelum ini dan menggunakan teknologi 'bluetooth' untuk pengesanan kontak kepada individu Covid-19.
Beliau berkata, apabila telefon bimbit pengguna MyTrace berada dalam jarak dekat, telefon itu akan mengesan gelombang 'bluetooth' untuk mengesan kehadiran masing-masing.
"Berdasarkan kekuatan gelombang 'bluetooth' yang dikesan, jarak dan tempoh pertemuan pengguna boleh dikenalpasti.
"Data yang dikumpul akan disimpan selama 21 hari di dalam telefon bimbit pengguna namun aplikasi ini hanya mengumpul maklumat pengguna yang telah dirahsiakan (anonymized) dan tidak mengumpul sebarang maklumat geo-lokasi," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar (Non-Health) selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini hari ini.
Ismail Sabri berkata, pengesanan kontak adalah sangat penting supaya dapat diketahui siapa yang pernah berada berdekatan dengan seseorang yang telah dikenalpasti positif Covid19.
"Jadi bagi memastikan keberkesanannya, sasaran penggunaan adalah sekitar 60 peratus pengguna telefon pintar di seluruh negara.
"Kerajaan berharap supaya seramai mungkin rakyat akan memuat turun dan menggunakan MyTrace," katanya.
Beliau berkata, sekiranya terdapat kluster Covid-19 yang baharu dikesan, aplikasi MyTrace juga dapat membantu Kementerian Kesihatan Kesihatan (KKM) untuk mengesan dan memutuskan jangkitannya secepat mungkin.
Katanya, aplikasi MyTrace kini boleh dimuat turun melalui Google Play Store bagi peranti jenis Android dan bagi versi iOS pula, ia boleh didapati tidak lama lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!