Terlalu awal umum PKPB, kata bekas PM dan bekas menteri
SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyifatkan langkah kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula Isnin dilihat sebagai terlalu awal.
Beliau berkata, memberi kebenaran untuk sebahagian besar sektor ekonomi mula beroperasi dilihat berisiko mewujudkan kluster baharu kes jangkitan koronavirus (Covid-19) secara mendadak.
Dalam masa sama menurutnya, situasi berkenaan turut merisikokan petugas perkhidmatan kesihatan yang bertanggungjawab untuk berhadapan dengan situasi peningkatan kes.
“Bila kita buat sekali gus macam ini, ia akan beri risiko kepada khidmat kesihatan dan petugas kesihatan kita. Adakah mereka bersedia jika berlaku kluster baharu secara mendadak dan jumlah yang ramai?
"Kanada dan Jepun sudah pun berlaku apabila mereka longgarkan 'lockdown', kes jangkitan meningkat mendadak,” tulisnya menerusi hantaran di Facebooknya mengulas pengumuman kerajaan yang melaksanakan PKPB bermula Isnin.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Pekan itu berkata, kerajaan sepatutnya memberi kebenaran pelbagai sektor ekonomi kembali beroperasi secara berperingkat.
Menurutnya, ini kerana berdasarkan tren semasa yang direkodkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kes jangkitan Covid-19 dalam kalangan warga tempatan meningkat beberapa hari ini.
“Maka kita bertanya, apa keperluan untuk beri kelonggaran begitu besar secara serentak bermula Isnin depan walaupun fasa empat PKP ini hanya akan berakhir pada 12 Mei?
“'Slow and steady'. Sektor demi sektor. Secara beransur-ansur. Tak perlu gelojoh sangat. Janganlah sekali gus. Nanti susah nak kawal,” katanya.
Sementara itu, bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pula menyifatkan langkah diambil kerajaan itu bukan bersifat 'soft-landing' kerana 'exit strategy' belum sempat dihayati dan difahami rakyat.
Pengerusi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) itu berkata, walaupun pelan dan langkah komprehensif telah disediakan namun apa yang direncanakan itu sekadar di atas kertas.
"Pembudayaan amalan 'normal baharu' atau 'new normal' perlu sedikit masa untuk dikempen dan didoktrinkan betul-betul.
"Masa sebelum 12 Mei diharapkan akan dimanfaatkan sebaiknya, malangnya tiba-tiba 4 Mei ini, semacam sudah 'back to business as usual', ini yang ramai ralat.
"Apa pun, jangan selesa dan ambil mudah! Insiden-insiden kes baharu dari punca komuniti sendiri (sporadic cases) masih dikesani pada jumlah 'double digits' (57 terkini) dan Selangor tidak terkecuali," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Sementara itu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof menegaskan, istilah ‘kerajaan’ atau ‘pembangkang’ sudah tidak lagi relevan terutamanya melibatkan lontaran idea untuk bersama-sama menangani pandemik Covid-19.
Beliau berkata, ketika negara sedang berhadapan dengan krisis penularan Covid-19, perlu ada persetujuan bersama atau dipanggil konsensus dan perlu mendengar pandangan pelbagai pihak.
“Ada yang kata pandangan Dr Mujahid ini bagus tapi anda bukan kerajaan lagi. Mereka ini tidak faham. Inilah tujuannya apabila dalam kes Covid-19, ia bukan soal kerajaan atau pun pembangkang.
“Ia (istilah kerajaan atau pembangkang) sudah tidak relevan lagi dalam krisis Covid-19 ini. Saya tidak melihat adanya pembangkang atau pun kerajaan.
“Jangan kita pisahkan (satu ruang). Asal kata kalau pandangan itu datang daripada pihak pembangkang, tidak mahu dengar, cuma mahu dengar pandangan kerajaan.
“Yang kata hanya mahu dengar daripada kerajaan itu, itu yang tiba-tiba isu moratorium timbul sebab tidak dibahaskan di Parlimen (bersama pembangkang),” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi siaran langsung di Facebook bersama moderator, Hairul Nizam Ishak dalam mengupas tajuk Lockdown diringankan, sejauh mana kewajarannya?
Dr Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar itu menyifatkan, mentaliti orang yang kadang-kala tidak melihat isu krisis Covid-19 dengan serius tetapi melalui pandangan agak sempit menyebabkan krisis itu tidak dapat ditangani secara solidariti bersama.
Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan akan melaksanakan PKPB yang merupakan pendekatan ketiga sebagai langkah membuka semula aktiviti ekonomi di seluruh negara secara terkawal dan berhati-hati.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!