28,992 ditahan ingkar PKP sejak 18 Mac
KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Seramai 28,992 individu ditahan di seluruh negara sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac hingga semalam.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, daripada jumlah itu seramai 15,792 orang atau 54.4 peratus sudah didakwa di mahkamah.
"Bagi PKP fasa satu sehingga fasa tiga, polis menahan 27,061 individu dengan 13,980 dituduh di mahkamah.
“Sementara itu, bagi tempoh PKP fasa empat pada 29 April hingga 2 Mei, seramai 1,987 orang ditahan dengan 1,812 orang dituduh di mahkamah,” katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman hari ini.
Huzir berkata, pendakwaan akan diteruskan sehingga kertas siasatan selesai.
Turut hadir Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Al-Ishsal Ishak.
Mengulas berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula esok yang berkemungkinan akan berlaku kesesakan di beberapa lokasi tumpuan, beliau berkata, ketua polis daerah telah bersedia menghadapi perkara tersebut.
"Kita jangka akan berlaku kesesakan tetapi polis sudah bersedia memantau situasi itu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!